Saturday, November 21, 2009
Sila Yang Salah
"FREE Insurance Consultation & Quotation: Sila hantarkan butir-butir nama, tarikh lahir, status merokok, pekerjaan, no telefon, email dan bajet caruman bulanan ke pru.azam@gmail.com atau 012-340 8494"
Perkataan 'sila' adalah perkataan kata-arahan. Itulah sebabnya 'sila' hanya boleh digunakan oleh individu yang mempunyai hak mengeluarkan arahan.
Salesman tidak mempunyai hak mengarahkan pelanggan.
Perkatakan 'sila' tidak serupa dengan perkataan 'dipersilakan'.
Memilih Warna Lapik Meja
Apabila memilih plastik penutup meja makan di restoran, pilih warna-warna polos. Jangan pilih plastik yang berbunga-bunga.
Ikut macam restoran-restoran yang mahal. Kain alas meja mereka tidak ada gambar bunga-bungaan.
Warna alas meja yang polos menjadi latar belakang yang menaikkan seri pinggan di atasnya. Makanan dalam pinggan kelihatan lebih cantik, lebih menyelerakan....
Friday, November 20, 2009
Ego dan Duit
Apabila kita berniaga, lupakan ego kita, fikirkan duit.
Ego pelanggan adalah sebahagian daripada kalbunya. Jaga ego pelanggan baik-baik. Apabila egonya kita urut, dia tidak sayang menyerahkan duitnya kepada kita.
Panggil pelanggan kita dengan nama panggilan 'tuan', 'puan', 'encik' dan 'cikpuan'. Mereka mahu mendengar kata-kata itu, maka ucapkanlah.
Kita mahukan supaya duit pelanggan mengalir masuk ke dalam akaun bank kita.
Jangan bersaing siapa lebih egoistik dengan pelanggan kita sendiri.
Thursday, November 19, 2009
Walaupun Meja Bersih Tetap Dilap
Salah satu perbuatan yang dilakukan oleh pembantu di kedai makan Mamak adalah, sebaik-baik pelanggan duduk, sebelum pelayan mengambil pesanan, dia akan mengelap meja, meskipun meja itu bersih.
Perbuatan seperti itu sangat disukai oleh pelanggan.
Skrip Menjual
..................
Apabila kita mahir menggunakan kata-kata untuk mengurut jiwa pembeli, mereka akan berulang-ulang kali datang membeli apa yang kita jual.
..................
Pernahkah kita berasa dihina oleh kata-kata jurujual?
Apabila seorang jurujual bercakap kepada pelanggannya, beliau sebenarnya sedang berkomunikasi.
Kemahiran menggunakan bahasa yang betul sangat penting dalam bidang perniagaan. Dalam bahasa Cina ada pepatah yang maksudnya ialah “Dengan kata-kata, orang yang pandai berbahasa boleh memanggil burung yang sedang terbang di langit, turun hinggap dan makan di tapak tangannya.”
Malah ramai juga orang menyangka bahawa bercakap itu serupa maknanya dengan berkomunikasi. Oleh sebab profesion kejurujualan menggunakan kemahiran berkomunikasi, ramai orang menyangka sesiapa sahaja yang pandai bercakap mempunyai bakat menjadi jurujual. Oleh itu ramai orang yang menyangka, orang-orang yang tidak malu bercakap, suka bercakap, dan mereka yang petah bercakap adalah orang-orang yang tentu pandai menjadi jurujual. Sangkaan ini adalah tidak benar sama sekali.
...............
Pelanggan kita adalah orang-orang yang mengharapkan dengan membeli daripada kita, mereka menerima penghargaan dan penghormatan, dan kalau boleh, dengan kasih sayang juga.
...............
Kita mengurut tubuh badan orang dengan menggunakan jari-jemari. Orang yang mendapat urutan jari-jemari yang mahir boleh menjadi ketagih diurut oleh jari-jemari yang sama. Mereka akan datang berulang-ulang kali untuk diurut oleh jari-jemari itu sahaja. Mereka tidak suka diurut oleh jari-jemari lain.
Kita tidak boleh mengurut jiwa orang dengan menggunakan jari-jemari, sebaliknya kita menggunakan kata-kata. Jari-jemari dan kata-kata mempunyai kuasa yang sama kuatnya untuk membuat orang ketagih.
Apabila kita mahir menggunakan kata-kata untuk mengurut jiwa pembeli, mereka akan berulang-ulang kali datang membeli. Sebenarnya, mereka itu bukan ketagih kepada barang-barang yang kita jual kepada mereka, sebaliknya mereka ketagih mendengar kata-kata yang kita gunakan sewaktu melayan mereka.
.............
Teori Maslow digunakan secara profesional dengan sangat meluasnya dalam kegiatan perniagaan dan periklanan di seluruh dunia.
.............
Sebagai contoh, kalau kita menjual syampu kereta, atau alat mekap, atau intan berlian, barang-barang itu tidak boleh menyebabkan orang ketagih menggunakan syampu, atau mekap atau berlian. Mereka datang berulang kali membeli disebabkan mereka ketagih hendak mendengar kata-kata yang kita ucapkan apabila berkomunikasi dengan mereka dalam proses menjual dan membeli.
Salah seorang pakar psikologi yang terkenal ialah Prof. Abraham Maslow. Beliau mengemukakan teori berkenaan jenis-jenis keperluan jiwa manusia yang mendorong mengapa seseorang individu sanggup melakukan sesuatu atau tidak sanggup melakukan sesuatu. Teori beliau digunakan secara profesional dengan sangat meluasnya dalam kegiatan perniagaan dan periklanan di seluruh dunia.
Menurut Maslow, salah satu keperluan jiwa yang ada pada setiap manusia ialah hasrat mahu dirinya supaya dihargai, dihormati, disanjungi dan dikasihi oleh orang lain. Beliau mengatakan bahawa keperluan itu adalah keperluan yang sangat mendalam, sehingga jikalau anda tidak mendapatnya anda boleh menjadi manusia sedih dan murung, serta ada kalanya ia boleh menyebabkan anda tidak ada keinginan untuk hidup lagi.
...............
Ramai wanita sanggup membeli mekap mahal-mahal mengharapkan dengan menggunakan mekap itu mereka akan dan dicintai oleh lelaki.
..............
Menurut teori ini, salah satu dorongan mengapa kita membeli barang-barang yang kita beli ialah disebabkan kita mengharapkan barang-barang itu akan membolehkan kita memenuhi keperluan jiwa kita. Ramai orang membeli kereta disebabkan dengan memiliki kereta itu mereka berharap orang-orang lain akan menghormati mereka dan melayan mereka dengan layanan yang lebih baik. Ramai wanita sanggup membeli mekap yang mahal-mahal semata-mata disebabkan mengharapkan dengan menggunakan mekap itu mereka akan dikasihi dan dicintai oleh lelaki.
Setiap pelanggan yang datang adalah orang-orang yang mengharapkan bahawa dengan membeli daripada kita, mereka akan dibayar dengan penghargaan, penghormatan, kemuliaan, sanjungan dan kalau boleh, dengan kasih sayang juga.
Barang-barang yang dibelinya dapat membeli daripada orang lain. Tetapi, kata-kata yang kita ucapkan kepada mereka, tidak mungkin dapat mereka dengar daripada bibir orang lain, disebabkan tidak mungkin ada dua orang yang akan mengucapkan ayat-ayat yang serupa, kecuali ayat-ayat itu adalah ‘skrip’ palsu yang dihafal seperti "Terima kasih.” dan “Sila datang lagi.”
Teori Maslow mengatakan banyak daripada perkara-perkara yang kita buat setiap hari sebenarnya menggambarkan usaha kita untuk memenuhi keperluan jiwa kita. Sebagai contoh, kita terdorong menolong orang-orang lain, walaupun orang itu tidak kita kenal, disebabkan kita mengharapkan orang-orang itu akan menghargai diri kita.
Kita terdorong melakukan perbuatan-perbuatan yang baik supaya orang menghormati dan memuliakan kita.
Kita sanggup bekerja kuat untuk mengisi jawatan-jawatan dalam pertubuhan kebajikan dan sukarela disebabkan jawatan itu akan membuat kita berasa diri kita orang yang penting.
Kita sanggup mengorbankan kepentingan diri sendiri demi orang lain disebabkan kita ingin supaya diri kita disanjungi. Seterusnya kita terdorong mengasihi orang lain semata-mata dengan harapan orang itu akan mengasihi diri kita.
Kajian menunjukkan, orang-orang yang pandai berkomunikasi dengan menggunakan kata-kata yang dapat memenuhi keperluan jiwa orang-orang lain akan dapat menambat hati pelanggan mereka supaya terus setia membeli daripada mereka. Itulah sebabnya, antara nasihat pakar-pakar komunikasi ialah, jangan bercakap melainkan kata-kata kita itu memenuhi keperluan jiwa orang yang mendengarnya.
Kisah ini kisah benar. Seorang pemandu singgah ke stesen minyak. Sementara minyak sedang di isi, seorang jurujual krim pencuci kereta datang kepadanya untuk menjual krim itu.
Jurujual itu berkata, “Encik, kereta encik ni, kotor. Nampak macam kereta lama. Macam dah berbulan-bulan tak dibasuh. Warnanya pun macam dah dimakan matahari. Kalau encik malas nak cuci kereta encik tiap-tiap minggu.....”
Si pemandu sakit hati mendengar kata-kata jurujual itu lalu menguis-nguiskan tangannya memberi isyarat supaya jurujual itu pergi. Walaupun dia tahu keretanya kotor, tetapi dia tidak suka orang lain mencaci keretanya. Malah kepadanya, keretanya yang kotor dan tidak dijaga rapi itu adalah lambang dia seorang yang mempunyai wang disebabkan barang mahal seperti kereta pun dia mampu gunakan dengan lasaknya, bukan seperti orang yang tak cukup wang untuk membeli kereta baru, itulah sebabnya mereka sangat hati-hati menjaga kereta yang ada.
..............
Apabila kita menggunakan kata-kata yang memenuhi keperluan jiwa orang-orang lain, kita dapat menambat hati pelanggan supaya terus setia membeli daripada kita.
..............
Seorang jurujual di kaunter produk-produk mekap di dalam sebuah pasaraya cuba memujuk seorang pelanggan wanita dengan berkata, “Kak, belilah gincu ini. Kalau kakak pakai gincu ni, kakak akan nampak cantik.”
Mendengar kata-kata seperti itu, wanita itu terus tidak jadi membeli apa-apa daripada kaunter tersebut. Hatinya sakit bukan kepalang disebabkan dihina oleh jurujual yang biadab dan berani mengatakan dirinya tidak cantik.
Seorang ejen jualan langsung yang cuba menjual sabun pakaian berjenama mahal cuba meyakinkan seorang isteri usahawan yang kaya supaya membeli sabunya dengan berkata, “Walaupun sabun ini mahal, tetapi kita gunakan sedikit sahaja sudah pun cukup. Sebenarnya puan boleh jimatkan RM3 setiap kotak. Lagipun sabun ini tak tajam pada kulit tangan puan. Jadi puan boleh membasuh banyak kali, tapi tangan puan tak rosak.”
Isteri usahawan itu berasa terhina mendengar kata-kata jurujual itu. Baginya, apalah besarnya berjimat RM3? Lebih celupar lagi mulut ejen itu bila dia menyangka isteri orang kaya seperti dia membasuh baju dengan tangan.
Dalam kisah-kisah sebenar di atas, tiap-tiap jurujual itu gagal membuat jualan disebabkan kata-kata mereka tidak memenuhi keperluan jiwa pelanggan mereka. Sebaliknya kata-kata mereka merendah-rendahkan, menghina dan mengecilkan hati pelanggan.
Wednesday, November 18, 2009
Pelanggan Datang Membeli Keperluan Psikologi
Manusia mempunyai keperluan jasmani (makan, minum, pakaian), emosi (dihormati, dikasihi) dan rohani (perlindungan dari Tuhan).
Apabila pelanggan datang ke restoran kita, dia bukan hanya datang dengan membawa perutnya yang memerlukan makanan dan minuman. Dia juga datang membawa hati dan kalbunya yang perlu diberi layanan.
Semua restoran melayan perut pelangganya. Banyak restoran hanya melayan perut pelangganya sahaja.
Bagi mengekalkan kesetiaan pelanggan, restoran mesti melayan kalbu pelanggan-pelanggannya.
Ego pelanggan adalah sebahagian daripada kalbunya.
Monday, November 16, 2009
Tip Memilih Lokasi Gerai
Saya telah terbaca tip ini dalam sebuah buku panduan membuka restoran piza terbitan USA yang saya beli di MPH.
Saya tidak berminat membuka restoran, tetapi saya beli dan baca buku itu sebab PTS mahu menerbitkan siri panduan memulakan perniagaan. Jadi PTS bolehlah meniru isi kandungan dan format yang bagus.
Jika kita hendak menyewa kedai di tepi jalan yang sibuk, jangan pilih kedai di sebelah jalan orang pergi ke tempat kerja. Pilih sebelah jalan orang balik kerja.
Mengapa?
Pagi-pagi hari semua orang bergegas-gegas hendak sampai ke tempat kerja, jadi mereka tidak ada masa hendak berhenti singgah makan di restoran kita.
Pada waktu petang orang lebih relaks, jadi mereka ada masa singgah di restoran kita......
Sunday, November 15, 2009
Naik Pangkat Bukan Ganjaran Rajin Bekerja
Banyak orang yakin syarat naik pangkat adalah rajin bekerja dan produktiviti kerja yang tinggi. Oleh itu mereka rajin bekerja dengan harapan mereka akan dinaikkan pangkat.
Individu-individu yang layak dilantik memegang jawatan tinggi bukan hanya mereka yang rajin bekerja. Mereka juga mesti memiliki ciri-ciri lain, yakni bakat memimpin, ilmu pengetahuan tentang pekerjaannya, dan kamahiran-kemahiran yang kritikal peranannya bagi jawatan tinggi itu. Justeru, naik pangkat bukan ganjaran yang diberikan oleh majikan bagi sifat rajin bekerja ataupun sikap taat lurus bendul kepada ketua. Jawatan tinggi itu mungkin diberikan kepada orang luar sama sekali, yang tidak pernah bertugas di syarikat itu sebelumnya.
Ganjaran bagi tingkah laku rajin bekerja yang disediakan oleh majikan adalah dalam bentuk-bentuk seperti kenaikkan pada gaji bulanan, komisen, bonus, percutian dan banyak lagi. Dalam erti kata yang mudah, naik pangkat bukan upah rajin bekerja.
Naik pangkat juga bukan upah untuk pekerja yang hanya cekap membuat kerja-kerjanya yang ada sekarang. Bagi pekerja yang hanya cekap mengeluarkan roti dengan banyaknya, maka dia layak diberi gaji tambahan, komisen, bonus dan lain, tetapi dia tidak layak dinaikkan pangkat kerana pekerja yang rajin bekerja belum tentu memiliki bakat dan keupayaan melaksanakan peranan pada peringkat jawatan tinggi.
Setiap pangkat mempunyai peranan penting bagi memastikan survival syarikat. Bagi tiap-tiap pangkat ada senarai fungsi, akauntabiliti dan tugas-tugasnya. Sebagai contoh, dalam syarikat pembuat roti, kecekepan membuat roti bukan lagi menjadi fungsi-fungsi, akauntabiliti dan tugas-tugas seorang supervisor dalam kilang roti itu. Justeru tukang roti yang paling rajin dan cekap tidak semestinya mempunyai kebolehan menjadi supervisor kilang roti.
Justeru, pekerja-pekerja di kilang roti yang rajin membuat roti sehingga larut malam mungkin hanya pandai bekerja dengan tepung, ragi dan oven di dalam dapur kilang rotinya. Namun pandai membuat roti bukan salah satu kriteria utama kenaikan pangkat. Pengetahuan teknikalnya itu terletak dalam tempat ketiga. Dua kriteria yang lebih penting adalah pandai mendorong dan pandai berkomunikasi.
Friday, November 13, 2009
Jangan Sentuh Tubuh Orang Lain
Dalam dunia bisnes, aspek-aspek budaya boleh menyebabkan kita menanggung kerugian ataupun menerima banyak keuntungan. Itulah sebabnya orang-orang bisnes perlu mempelajari aspek-aspek bisnes yang ada kaitannya dengan bisnes.
Ambil kes perbuatan menyentuh mana-mana bahagian tubuh badan seseorang. Ada 2 sebab perbuatan menyentuh tubuh orang lain lebih dielakkan sama sekali:
1. Peraturan budaya
Dalam sesetengah budaya, mereka mempunyai peraturan yang sangat ketat berkenaan tingkah laku sentuh menyentuh, baik antara lelaki dengan lelaki, ataupun antara lelaki dan perempuan.
Dalam masyarakat bangsa-bangsa yang beragama Islam, mereka mengamalkan peraturan yang sangat-sangat ketat.
Di kalangan masyarakat bukan-Islam sekalipun, mereka mempunyai peraturan yang ketat, umpamanya tentang siapa boleh menyentuh siapa, bila, pada bahagian mana, dan atas tujuan apa.
2. Pilihan peribadi
Pakar-pakar psikologi mengatakan memang ada individu yang suka menyentuh orang-orang lain, dan dia suka disentuh oleh orang-orang lain, manakala ada pula individu yang tidak suka sama sekali tingkah laku seperti itu.
Jangan sekali-kali kita memulakan perbuatan menyentuh orang lain sebab kita mungkin menyentuh orang yang pantang disentuh.
Thursday, November 12, 2009
Menaikkan Pangkat Pekerja
Suatu perkara yang mudah kita lihat adalah kenyataan bahawa semua orang yang memegang jawatan tinggi pandai bercakap. Mereka pandai menyampaikan ucapan, pandai menyampaikan taklimat, pandai bercakap dengan wartawan, pandai menjadi panel forum, pandai menjalankan pembentangan kertas projek, pandai mempengerusikan mesyuarat, dan banyak lagi aktiviti yang menghendaki seseorang itu bercakap di depan khalayak.
Justeru, fasih bercakap adalah salah satu syarat penting naik pangkat, tetapi syarat ini tidak dituliskan di mana-mana, oleh sebab itu perkara ini tidak disangka sangat penting. Sebagai contoh, syarat pandai bercakap tidak dimasukkan dalam permohonan kenaikan jawatan.
Banyak orang yakin syarat naik pangkat adalah rajin bekerja dan produktiviti kerja yang tinggi. Oleh itu mereka rajin bekerja dengan harapan mereka akan dinaikkan pangkat.
Namun kita dapat lihat bahawa individu-individu yang memegang jawatan tinggi bukan hanya rajin bekerja. Mereka juga memiliki ciri-ciri lain, dan salah satu ciri itu adalah mereka pandai bercakap.
Dalam suatu kajian yag pernah dijalankan oleh majalah FORTUNE International, 500 orang ketua eksekutif syarikat yang tergolong dalam senarai syarikat-syarikat terbaik di Amerika telah ditanya apabila mereka mencari timbalan, apakah 3 kriteria paling utama yang mereka akan kenalpasti pada bakal calon itu. Tiga kriteria yang mereka sebut adalah (i) pandai mendorong orang lain, (ii) pandai berkomunikasi, dan (iii) memiliki pengetahuan teknikal dalam aktiviti syarikat.
Maksud 'pengetahuan teknikal' bermakna memiliki kepakaran dalam kerja-kerja teknikal, sebagai contoh dalam syarikat pembuatan roti bermakna dia pandai membuat roti, ataupun dalam syarikat restoran bermakna dia mesti pandai memasak. Meskipun syarat ini penting tetapi pengetahuan teknikal diletakkan pada tempat ketiga.
Banyak pekerja berasa patah semangat dan kecewa apabila sikap mereka yang pandai bekerja dan rajin bekerja tidak diiktiraf oleh majikan dengan menaikkan pangkat mereka. Namun, dalam kajian FORTUNE itu kriteria rajin bekerja tidak termasuk dalam tiga kriteria yang dicari.
Wednesday, November 11, 2009
Jangan Bergurau dengan Pelanggan
Sebagai orang bisnes, prioriti kita adalah menjaga kepentingan bisnes kita. Semua perkara yang kita lakukan, ataupun tidak kita lakukan, adalah demi memastikan bisnes kita bertambah maju dan berkembang dengan baik.
Banyak orang percaya kalau kita mahu berbisnes dengan jayanya kita mesti membanyakkan jumlah kawan-kawan kita. Mereka juga percaya bahawa kita perlu belajar menjadi seorang yang pandai cepat menjalin hubungan mesra dengan sesiapa sahaja, yakni kita dapat bercakap seoalah-olah kita sudah kenal lama dengan orang itu. Seterusnya, mereka percaya jika kita mahu cepat mesra kita perlu pandai berjenaka dan bergurau.
Dalam budaya Melayu, perbuatan berjenaka dan bergurau hanya boleh dilakukan dari atas ke bawah, iaitu oleh orang yang lebih tinggi statusnya kepada orang yang lebih rendah statusnya.
Bergurau tidak boleh dilakukan dari bawah ke atas. Apabila peraturan ini dilanggar, kita dianggap seorang yang tidak tahu adab-adab bercakap dengan orang yang sepatutnya dimuliakan.
Perbuatan bergurau mempunyai risiko sosial. Dalam budaya Melayu, orang yang melanggar peraturan bergurau dipersepsi sebagai orang yang tidak serius sikapnya, kurang bijaksana, tidak halus adab sopannya, tidak karismatik, tidak dapat diharapkan, dan tidak boleh memimpin.
Bergurau hanya boleh dilakukan dengan orang yang dikenali dengan amat rapat, seperti dengan rakan sebaya dan kaum kerabat sendiri.
Dalam dunia bisnes, pelanggan kita bukan kawan rapat kita dan bukan kerabat kita. Oleh itu kita jangan bergurau dengan mereka.
Apabila berinteraksi dengan pelanggan, sentiasa bercakap dengan menggunakan bahasa halus serta penuh sopan santun.
Jika pelanggan kita mahu bersenda dan bergurau, itu tidak mengapa, kita ketawalah sahaja supaya dia suka hati, tetapi kita jangan menokok-tambah gurauannya itu dengan gurauan juga.
Tip Mencipta Nama Syarikat
Apabila mencipta nama syarikat, pilih nama yang dengan terang dan jelas dapat menerangkan aktiviti syarikat.
Nama-nama di bawah menerangkan aktiviti syarikat:
Rohayu Andaman Tradisional Sdn. Berhad.
Transport Pantas Sdn. Bhd.
Rahimi Dekor Mewah Sdn. Bhd.
Percetakan Halim dan Anak-anak Sdn. Bhd.
Farmasi Maju Sdn. Bhd.
Dengan menggunakan nama-nama seperti di atas, apabila kita bertukar-tukar kad bisnes dengan orang-orang lain yang baru kita kenali, hanya dengan membaca nama syarikat kita itu orang sudah tahu apa bisnes kita. Dari situ mereka dapat memulakan perbualan dengan betul.
Tidak perlulah orang itu bertanya kepada kita, "Apa bisnes saudara?"
Nama-nama di bawah tidak menerangkan aktiviti syarikat:
Golden Enterprise Sdn Bhd.
Sinar Jaya Sdn. Bhd.
Sri Kalumpang Sdn. Bhd.
KMZ Murni Sejati Sdn. Bhd.
Sunday, November 8, 2009
Risiko Masuk Bisnes Kerana Hendak Mencari Duit
Banyak orang mahu masuk bisnes disebabkan waktu itu mereka sedang mengalami masalah tidak ada duit. Mereka menyangka, dengan masuk bisnes mereka akan dapat banyak duit.
Kita sering menyangka masalah tidak ada duit dan tidak cukup duit hanya dihadapi oleh mereka yang bergaji kecil. Ini tidak benar.
Sesiapa sahaja boleh mengalami masalah kewangan. Orang-orang yang bergaji besar dan berjawatan tinggi pun banyak yang tidak cukup duit dan menanggung hutang kad kredit yang banyak.
Gaji kecil bukan punca kita tidak cukup duit. Punca kita tidak cukup duit adalah kerana kita tidak pandai menguruskan duit gaji kita.
Akibat tidak cukup duit, mereka pun mencari-cari apa jenis bisnes yang dapat cepat mendatangkan duit. Golongan jenis inilah yang sangat mudah dipujuk memasuki dan menjadi agen kepada pelbagai bisnes yang menjaja janji-janji duit.
Kajian pakar-pakar psikologi ke atas kumpulan bisnesman yang berjaya mendapati mereka tidak masuk dunia bisnes disebabkan tidak ada duit, tidak cukup duit, ataupun sebab hendak buat banyak-banyak duit. Sebaliknya, mereka mendirikan bisnes mereka sendiri disebabkan mereka tidak suka bekerja di bawah telunjuk orang lain, yakni mereka itu mahukan kebebasan peribadi.
| Reactions: |
Saturday, November 7, 2009
Cara Betul Mempromosi Buku dalam Face Book
Face Book adalah media yang sangat bagus digunakan oleh para penulis buku bagi mempromosi buku-buku mereka.
Mempromosi buku perlu dilakukan serupa sebagaimana mempromosikan produk-produk lain, baik perkhidmatan (seperti polisi insurans dll) mahupun barangan (seperti kereta dll), iaitu tidak boleh dibuat secara direct.
Contoh promosi secara direct adalah menampal cover buku-buku kita, baik di HOME mahupun di WALL rakan-rakan. Cara begini tidak persuasif, justeru tidak efektif. Cara begitu membuatkan kita dilihat sebagai tidak profesional, justeru buku kita juga tidak berkualiti tinggi. Dalam bahasa yang mudah, cara itu dipersepsi sebagai amaturis.
Dalam marketing gaya-FB, penulis perlu menjadikan dirinya harta sosial yang berharga di mata rakan-rakan. Maksudnya nilai-sosial diri si penulis itu tinggi sebab posting-posting yang ditulisnya bernilai tinggi. Rakan-rakan FB suka membacanya, dan mereka tertunggu-tunggu apa lagi yang akan ditulis seterusnya.
Di bawah ini adalah contoh usaha seorang rakan-FB mempromosi dirinya. Di bawah ini adalah contoh posting beliau yang ditulis hari ini:
"Abu Hurairah adalah sahabat Nabi Muhammad yang paling banyak merekodkan Hadis. Jumlahnya 7 ribu lebih. Sebanyak 367 buah Hadis yang direkodkan dalam 100 hari. Lebih dari 3 buah Hadis direkodkannya dalam satu hari. Di dalam enam kitab Hadis yang mashsyur, sekitar 10 buah Hadis sahaja yang direkodkan oleh Abu Hurairah secara sendirian (iaitu Hadis yang tidak direkodkan oleh mana-mana sahabat yang lain).
Beliau adalah Tn. Ainol Khusyairi. Beliau sudah menerbitkan 3 buah judul buku yang memperkenalkan hadith-hadith menggunakan cerita-cerita ringkas dan ditulis sebagai antologi. Buku-buku beliau laku dalam pasaran dan digemari oleh semua golongan usia, baik remaja mahupun dewasa.
Posting seperti di atas, apabila dilakukan secara konsisten, dapat menaikkan nilai-sosial beliau kerana:
(1) Posting itu mengandungi maklumat baru yang jarang diketahui oleh mereka yang bukan pakar hadith. Justeru nilai informasinya tinggi.
(2) Posting itu hanya menerangkan fakta semata-mata. Ayat-ayat informasi digemari oleh pembaca yang perpelajaran tinggi.
(3) Posting itu tidak mengandungi ayat-ayat yang meng-guru-i rakan-rakan FB.
Dengan menulis posting-posting informatif seperti itu, kredibiliti beliau meningkat, lama kelamaan rakan-rakan FB ingin tahu siapa beliau, lalu mereka membuka profail, lalu barulah mereka dapat melihat gambar cover buku-buku beliau, dan latar belakang beliau.... rupa-rupanya beliau lulusan dari Jordan.
NOTA: Banyak rakan-FB apabila menulis posting, mereka semata-mata menyalin terjemahan ayat-ayat Quran dan hadith-hadith. Cara begitu tidak efektif, dan itu terbukti kerana tidak ada sesiapa yang menulis feedback pada posting itu. Malah, dibaca orang pun belum tentu. Posting yang tidak dibaca membuktikan posting itu tidak mempunyai nilai pada mata orang yang tidak mahu membacanya. Posting yang tinggi nilainya adalah apabila menerima banyak feedback, dan bukan hanya banyak, malah feedback itu pula panjang-panjang. Apatah jika ada pula dalam feedback itu ucapan terima kasih dan penghargaan.
Friday, November 6, 2009
Menulis Posting Jualan dalam FB
Di bawah ini adalah contoh cara yang salah menulis posting jualan dalam Face Book:
baru dapat berita sorang kawan mak passed away due to barah pangkal rahim ... arwah dijadualkan menjalani pembedahan pada bulan 12 .. al-fatihah pada arwah .. Saya selalu sangat dengar kes-kes macamni ... so guys sign up la our medical insurance plan .. jaminan perubatan dari RM500,000 sehingga RM1.5 juta Lebih 60 hospital panel.. MURAH .. dari RM150 sebulan utk dewasa dan RM100 sebulan untuk kanak-kanak.
Mengapa salah?
(i) Ayat-berita yang yang digunakan bagi menyampaikan berita kematian itu menghantar mesej emosi yang salah.
baru dapat berita sorang kawan mak passed away due to barah pangkal rahim ... arwah dijadualkan menjalani pembedahan pada bulan 12 .. al-fatihah pada arwah ..
Ayat-berita di atas tidak merakamkan perasaan sedih dan simpati penulis itu kepada kawannya yang kematian ibu.
(ii) Ayat-berita yang ditulis menggunakan bahasa rojak dan ejaan yang salah tidak diyakini bahawa berita itu berita sahih, apatah lagi apabila ayat-berita itu disambung dengan ayat hendak menjual polisi insurans, maka ayat-berita itu dibaca sebagai ayat-bohong.
(iii) Skrip jualan tidak boleh dikaitkan dengan berita musibah yang menimpa orang lain sebab ia menunjukkan si penulis seorang yang tidak mempunyai adab halus, kerana sementara ada orang lain sedang ditimpa musibah tetapi dia menggunakan itu untuk membuat keuntungan duit.
Menulis skrip jualan dalam Face Book dianggap perbuatan yang menyalahi ethics media-sosial. Walaupun perbuatan itu tidak melanggar undang-undang, tetapi ia dianggap tidak manis....
Thursday, November 5, 2009
Bekerja dengan Staf Perempuan
Pakar-pakar bidang "organizational behavior" (perangai manusia di tempat kerja) mengatakan tingkah laku pekerja lelaki dan pekerja perempuan tidak serupa.
Pekerja lelaki mementingkan objektif dan target kerja. Mereka mementingkan prestasi dan "score". Itulah sebabnya mereka mengamalkan budaya "teamwork". Kerana mementingkan score, mereka sanggup bertelingkah dan bersaing sesama rakan sepasukan.
Pekerja perempuan mementingkan hubungan baik sesama rakan sekerja. Perasaan "suka-menyukai" menjadi sangat dipentingkan oleh perempuan. (Target kerja tidak dicapai pun tidak mengapa, yang penting suka dan seronok bekerja.) Itulah sebabnya mereka membina "clique" di tempat kerja.
Inilah contoh tulisan seorang rakan FB perempuan: " The GM I'm dealing with is super nice. He doesn't think its his birthright to boss people around, and says thank you every time...." Ayat seperti ini takkan pernah terjadi dituliskan oleh pekerja lelaki.
Bagi lelaki, gaji mesti selaras dengan "score" yang mereka telah sumbangkan.
Bagi perempuan, gaji tidak penting, asal sahaja gaji itu dianggap berpatutan dengan apa yang rakan-rakan mereka terima.
Yang lebih penting bagi pekerja perempuan adalah dia berasa seronok dan suka bekerja dengan ketua yang "very, very nice person..."
Wednesday, November 4, 2009
Jangan Berniaga dengan Cara Bersaing
Dalam bidang bisnes, apabila kita mahu berjaya, jangan bersikap kompetitif, yakni jangan bersaing dengan siapa-siapa.
Intipati falsafah persaingan adalah "menang dengan cara mengalahkan orang lain" (winning by beating the other guy).
Nabi Muhammad bukan seorang yang kompetitif. Beliau seorang yang mengajarkan kepada seluruh alam akan falsafah kooperatif, yakni falsafah saling bantu membantu, tolong menolong dan sama-sama berkembang.
Dua bidang yang mengamalkan falsafah persaingan yang sampai tahap sangat ekstrem adalah:
(a) Bidang bisnes.
Orang bisnes sanggup melakukan pelbagai jenayah bagi mengalahkan pesaing mereka. Semasa Nabi Muhammad berniaga, beliau tidak masuk pasaran dengan menggunakan strategi kompetitif, yakni strategi mengalahkan pesaing.
(b) Bidang sukan.
Dalam bidang sukan, ada (i) sukan kompetitif dan (ii) sukan non-kompetitif. Dalam sukan kompetitif, ahli-ahli sukan sanggup mengambil dadah berbahaya demi menjadi johan dengan mengalahkan peserta-peserta lain.
Islam membenarkan sukan, tetapi Nabi Muhammad tidak mengadakan sukan kompetitif, di mana ganjaran seperti hadiah, insentif, ataupun wang diberikan kepada pihak yang berjaya mengalahkan orang-orang lain. Beliau tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang dinamakan peraduan, perlawanan, pertandingan, perlumbaan, kejohanan, musabaqah, sayembara, liga, dan yang semakna dengannya di mana para peserta berlawan-lawan mengalahkan satu sama lain.
Beliau hanya membenarkan hadiah diberikan bagi perlawanan bermain panah dan menunggang kuda kerana kedua-duanya adalah riadah dan latihan persediaan bagi menghadapi peperangan membela agama.
Nota: Saya ini seorang ustazah palsu, sebab saya tidak pernah masuk kuliah pengajian Islam di universiti, justeru jangan terus telan apa yang tertulis dalam entri ini....
Tuesday, November 3, 2009
Mendorong Pekerja Supaya Makin Kuat Bekerja
Motivasi adalah suatu cabang ilmu psikologi yang sudah lama mempunyai disiplin sains empirikalnya sendiri. Sains motivasi paling banyak digunakan dalam persekitaran di tempat kerja.
Sains motivasi berkembang jauh di hadapan amalan-amalan motivasi, sehingga hal ini menjadikan apa yang dilakukan oleh ketua-ketua pejabat dan majikan-majikan merupakan sesuatu yang bukan hanya salah dari sudut sainsnya, malah amat merugikan organisasi, di mana semakin banyak wang dikeluarkan, semakin rendah prestasi yang dihasilkan.
Banyak majikan menggunakan cara-cara yang salah apabila mahu memotivasi para pekerjanya. Mereka menggunakan wang, sebagai contoh sistem bonus, bagi mendorong peningkatan produktiviti, maksudnya supaya pekerja mahu bekerja dengan lebih kuat dan lebih rajin.
Namun kajian-kajian saintifik mendapati wang tidak dapat meningkatkan keseronokan dan kekhusyukan pekerja semasa melaksanakan kerja-kerja mereka. Ganjaran wang hanya dapat meningkatkan produktiviti selagi kerja yang dilakukan itu adalah kerja-kerja mekanikal, seperti menyusun bata, membelah kayu api, dan lain-lain kerja yang tidak menggunakan ilmu.
Bagi kerja-kerja yang menggunakan ilmu, hasil-hasil kajian sains motivasi mendapati semakin banyak wang ditawarkan, semakin rendah mutu kerja yang dihasilkan.
Syarahan tentang risiko menggunakan wang sebagai alat mendorong pekerja supaya bekerja lebih produktif dapat diikuti di sini http://www.mattjmcd.com/2009/11/daniel-pink-on-the-science-of-motivation/
Sunday, November 1, 2009
Pinggan dan Mangkuk Saiz Besar
Saya pernah bertanya kepada mentor Cina saya, mengapa meja di restoran Cina besar-besar belaka. Begitu juga pinggan dan mangkuk yang digunakan bagi menghidangkan mi, lauk-lauk dan sayurnya, semuanya besar-besar belaka.
Beliau memberitahu, pinggan dan mangkuk yang besar perlu diisi dengan lauk dan sayur yang lebih banyak kuantitinya, jadi harga setiap pinggan lebih mahal.
Dengan memakan lauk dan sayur lebih banyak, pelanggan lebih kenyang, oleh itu mereka berasa lebih puas memakan sampai habis apa yang dihidangkan.
Pelanggan yang puas makan tidak kisah berapa harga yang dikenakan, dengan itu bisnes lebih menguntungkan.
Saiz pinggan mangkuk ada kaitan dengan 'pricing' per hidang. Bab ini restoran Melayu patut belajar dari Cina. Orang Melayu tidak tahu prinsip-prinsip menetapkan harga dengan betul.
Jika pelanggan mampu membayar RM10.00 sekali makan, tetapi disebabkan pinggan nasinya saiz S, dia cuma ambil kuantiti bernilai RM6.00 Kita rugi RM4.00.
Cuba kita makan mee kari di restoran Cina. Mangkuknya memang besar. Harganya RM6.00. Kita makan sampai kembung perut hendak menghabiskan isi mangkuk itu. Hati puas sebab makan puas.... Baca Seterusnya
Kita makan mee kari di restoran Melayu. Harganya RM3.50. Belum kenyang sudah habis.
Orang Melayu menetapkan harga berdasarkan kuantiti dalam mangkuk. Sebab mangkuknya kecil, isinya sedikit, maka harga yang di-caj rendah, padahal pelanggannya mampu makan lebih banyak dan membayar lebih tinggi.
Orang Cina menetapkan harga berdasarkan daya-bayar pelanggan......
Saturday, October 31, 2009
Berapa Orang Partner
Kita perlu menubuhkan syarikat Sdn. Bhd. sekiranya kita mahu mendapatkan fasiliti bank. Bank tidak mahu memberi kemudahan kepada syarikat enterprais.
Syarikat sdn bhd mewajibkan minimum 2 orang anggota lembaga pengarah, atau rakan niaga. Sebagai jalan mudah, banyak bisnesman melantik dirinya dan isterinya sebagai pengarah syarikat.
Sebaik-baiknya kita melantik minimum 3 orang ahli lembaga pengarah. Orang ketiga itu pula sebaik-baiknya orang yang setia kepada kita.
Jika kita lelaki, manakala orang ketiga itu adalah anak kita sendiri, pilih anak lelaki. Jika kita perempuan, pilih anak perempuan. Anak lelaki cenderung setia kepada ayahnya, manakala anak perempuan cenderung setia kepada ibunya.
Menjadikan Diri Sendiri Brand dalam Face Book
Brand (jenama) adalah sinonimus dengan profit, yakni "Ada brand, maka ada profit." Justeru aktiviti branding menjadi sangat besar peranannya dalam bisnes.
Semua produk mempunyai nama, tetapi tidak semua nama menjadi jenama (brand).
Disebabkan produk kita tidak unik, yang membezakan produk kita daripada produk-produk lain dalam pasaran adalah brand kita. Orang mesti mengenali jenama produk kita, baru orang mahu membelinya.
Makanya, aktiviti branding mempunyai peranan yang sangat penting.
Strategi, teknik dan seni melaksanakan marketing dan promosi menggunakan Face Book adalah ilmu yang sangat baru. Prinsip yang paling utama diketahui adalah cara promosi menggunakan media cetak tidak efektif apabila diterapkan dalam FB.
Di luar alam FB, brand produk itu sendiri sangat penting. Sebagai contoh, produk burger yang menggunakan jenama "Ramly Burger" adalah brand burger yang paling popular. Penggemar burger itu tidak kenal pun siapa Tn. Hj. Ramly bin Mokni. Yang mereka kenal adalah jenama burgernya.
Dalam dunia FB, situasinya tidak serupa. FB adalah sejenis media-sosial.
FB bukan media-cetak seperti brosur, banner, bunting, papan iklan, akhbar ataupun majalah di mana iklan yang berkesan mestilah menonjolkan gambar produk kita secara terang-terangan. Iklan yang sesuai untuk media cetak tidak sesuai digunakan dalam FB.
FB bukan media-audio macam radio di mana kata-kata yang diucapkan dalam skrip iklan mestilah berkali-kali menyebutkan jenama produk kita itu.
FB juga bukan kaki lima kedai. Sebagai orang bisnes kita bukan tukang jual ubat dalam FB, di mana kita mestilah memanggil-manggil orang yang lalu-lalang supaya datang dengan berkata, "Mari! Mari! Mari!...."
Dalam media sosial, diri kita menjadi lebih penting daripada produk kita itu sendiri. Dalam erti kata yang lain, rakan-rakan FB mesti (i) mengenali siapa kita, (ii) menyukai personaliti kita, dan (iii) menaruh kepercayaan ke atas integriti dan kredibiliti kita.
Ketiga-tiga perkara di atas dapat kita capai dengan menulis posting-posting yang dirancang dengan cermat.
Friday, October 30, 2009
Pentingnya Mempunyai Dasar Bisnes
Setiap bisnes mempunyai dasar bisnes. Ada peniaga yang tidak menceritakan dasar bisnes mereka secara terang-terangan kepada kakitangannya, manakala ada yang melakukan hal itu secara rasmi.
PTS menerangkan secara rasmi kepada staf dasar-dasar bisnesnya. Tugas ini dilakukan oleh Akademi Latihan Penerbitan PTS (Akademi-PTS).
1. Visi PTS: Menjadi syarikat media ilmu yang sahamnya diperdagangkan di papan pertama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
2. Misi PTS: Menjadi penerbit bahan-bahan ilmu yang memandaikan bangsa.
3. Dasar perniagaan PTS: Mengamalkan urusniaga yang (i) bebas-rasuah dan (ii) syariah-compliant, (iii) membolehkan rakan-rakan niaganya sama-sama membuat keuntungan.
4. Dasar editorial PTS: Menerbitkan bahan-bahan bacaan yang (i) memandaikan bangsa, (ii) syariah-compliant dan (iii) menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.
5. Budaya kerja PTS adalah:
(i) Mengutamakan kemahiran kooperatif dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,
(ii) Mengutamakan kepentingan, kebaikan dan kebajikan pembeli dan pembaca produk-produk PTS,
(iii) Menghargai, memupuk dan melindungi bakat-bakat yang dimiliki oleh setiap anggota staf dan karyawan PTS,
(iv) Mengongsikan dan mengagihkan dengan adil keuntungan perniagaan dengan pemilik saham, staf, karyawan, agen dan pembeli produk-produk PTS,
(v) Membantu dan menolong penerbit-penerbit lain membangun dan mengembangkan bisnes mereka.
Thursday, October 29, 2009
Risiko Mempercayai Wisdom yang Salah
Dalam dunia bisnes, kita perlu banyak mendengar pendapat dan pandangan orang lain yang lebih lama berpengalaman menjalankan bisnes mereka, supaya kita tidak melakukan kesilapan-kesilapan yang sepatutnya tidak kita lakukan.
Disebabkan orang Cina lebih banyak berkecimpung dalam dunia bisnes, maka sebaiknya kita banyak berkawan dengan mereka dan menjadikan mereka mentor.
Salah satu kesilapan yang kerap dilakukan oleh orang (Melayu) yang baru hendak memulakan bisnes adalah bertanya kepada individu-individu (Melayu) yang tidak berpengalaman dalam bisnes! Ataupun mereka bertanya kepada individu Melayu yang bisnesnya bukan betul-betul bisnes dalam erti kata yang sebenar, sebagai contoh bisnes mereka adalah bisnes atas angin sahaja. Akibatnya, mereka mendengar pendapat dan nasihat yang salah....
Salah satu 'wisdom' yang kerap kedengaran adalah kononnya bisnes perlukan 'kabel'.
Apabila kita percaya bisnes memerlukan kabel, maka kita akan melaburkan banyak masa, tenaga, wang dan fikiran cuba mencari kabel-kabel itu. Padahal jika sumber-sumber itu digunakan bagi menjalankan kerja-kerja lain yang lebih berfaedah, kesannya lebih baik ke atas bisnes kita.
| Reactions: |
Mengapa Pekerja Malas
Seorang rakan di FaceBook, yang juga seorang bisnesman menulis:
"Kadang-kadang aku jadi terfikir kenapa budak budak Melayu (staff saya la) ni kalau buat benda, buat kerja, mereka tidak bersungguh-sungguh dan sambil lewa.... Kenapa? Nak kena lempang kot..."
Tingkah laku pekerja malas termasuk dalam kajian bidang ilmu "organizational behavior" (perangai manusia dalam organisasi) dan diulas di bawah topik "motivation at the workplace" (motivasi di tempat kerja) dan topik "job satisfaction" (kepuasan bekerja).
Pekerja adalah pekerja. Majikan adalah majikan. Ini adalah persepsi pekerja, meskipun semua majikan mahukan supaya mereka anggap syarikat itu milik bersama.
Pekerja tidak memiliki apa-apa yang menjadi hak syarikat. Syarikat itu adalah milik majikan. Pekerja bukan rakan-kongsi majikan. Itu realiti. Justeru mereka tidak nampak apa gunanya mereka bekerja berhempas pulas untuk apa yang dimiliki oleh orang lain.
Banyak kajian telah dilakukan (di US) yang berjaya mengenal pasti pelbagai faktor dan punca yang dapat menaikkan ataupun menurunkan semangat kerja di kalangan staf organisasi.
Banyak faktor yang mendorong anak buah kuat bekerja kuat, di sini saya sebut 2 sahaja, sebab yang dua ini jarang dibincangkan, sedangkan peranannya amat penting:
(1) Ethics sang ketua.
Ethics (etika) sang ketua yang baik dan tiada cacat-celanya adalah salah satu punca dorongan dan semangat kerja orang-orang bawahan.
Di sini ethics sang ketua termasuklah akhlaknya, bukan sahaja akhlaknya sewaktu berada di dalam organisasi, malah termasuk akhlaknya semasa berada di luar organisasi.
Adalah sangat penting pekerja melihat sang ketua sebagai orang yang 'sangat baik' akhlaknya, baik semasa berada di tempat kerja mahupun di luar pejabat.
Dalam budaya Asia, orang tidak membezakan ethics bisnes dan ethics peribadi. Kedua-duanya dianggap serupa.
Sebagai contoh, jikalau sang ketua itu tidak berdusta di pejabat, tetapi berdusta di luar pejabat, maka di mata pekerjanya sang ketua itu tetap seorang pendusta.
Orang Asia juga tidak mengasingkan akhlak anak isteri sang ketua dengan akhlak sang ketua itu sendiri.
Sebagai contoh, jika sang ketua itu berjimat di pejabat, tetapi isterinya memakai pakaian dan barang kemas yang mahal-mahal, maka di mata pekerjanya sang ketua itu seorang pemboros.
Bagi pekerja, sangat tidak ada maknyanya bekerja bersungguh-sungguh bagi majikan yang berdusta dan pemboros.
(2) Nilai tonggak bisnes
Korporat-korporat besar semuanya mempunyai apa yang dikatakan core values (nilai tonggak) yang menjadi asas kepada budaya kerja.
Peranan nilai tonggak adalah penting kerana:
(i) Nilai-nilai itulah perkara yang dapat dikongsikan antara majikan dan mereka sendiri.
Kereta besar, rumah besar, duit syarikat dan kemewahan hidup sang ketua tidak dapat dikongsi oleh pekerja. Jika sang ketua mempunyai nilai-nilai yang baik, itulah yang dapat mereka berkongsi.
(ii) Nilai-nilai tonggak itu menjadi sumber motivasi dan semangat kepada pekerja.
Nilai-nilai tonggak itu menerangkan mengapa mereka perlu bekerja kuat untuk syarikat yang sedikitpun mereka tidak miliki sahamnya.
(iii) Nilai-nilai itu memberikan makna kepada kerja-kerja yang mereka lakukan di tempat kerja.
Nota: Misi PTS adalah menerbitkan buku-buku yang dapat "Memandaikan Bangsa". Tiga nilai tonggak PTS adalah (a) Bebas rasuah, (b) Syariah-compliant, dan (c) Bahasa Melayu Tinggi.
Tuesday, October 27, 2009
Peniaga Kecil Terus Kecil
Robert Kiyosaki mengatakan banyak peniaga kecil kekal sebagai peniaga kecil. Padahal mereka sudah lama berniaga, manakala setiap hari mereka bekerja sangat kuat, namun perniagaan mereka kekal kecil, tidak membesar.
Keadaan itu berlaku disebabkan 2 faktor:
(1) Mereka tidak mempunyai rancangan bagi menyerahkan tanggungjawab, tugas dan kerja kepada individu-individu lain.
(2) Mereka tidak membangunkan sistem kerja bagi membolehkan individu lain mengambil alih tanggungjawab, tugas dan kerja.
Dua perkara itu berpunca daripada sikap mereka yang tidak berani menaruh kepercayaan kepada individu-individu lain, akibatnya semua kerja mereka buat sendiri, ataupun tunggu sampai dia berikan arahan.
Monday, October 26, 2009
Bisnes yang Memiliki Kejelitaan Sosial
Syarikat-syarikat besar membelanjakan banyak wang supaya mereka dipandang cantik pada mata orang ramai. Ini dilakukan kerana kecantikan sosial mempunyai kaitan langsung dengan survival syarikat.
Syarikat yang cantik dan jelita pada mata masyarakat adalah syarikat yang melakukan banyak kerja-kerja mulia, seperti banyak membayar zakat, kuat membantu golongan kurang bernasib baik, tidak merosakkan alam dan lain-lain.
Hasilnya, produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat yang memiliki kejelitaan sosial juga dilihat jelita oleh pembelinya.
Banyak syarikat menawarkan produk yang serupa. Pembeli memilih produk syarikat A bukan disebabkan produk itu unik, tetapi disebabkan dia mempunyai persepsi positif tentang produk itu dan syarikat yang membuat ataupun yang menjualnya.
Bagi perniagaan kecil, seperti kedai makan ataupun kedai repair motosikal, kita boleh menjadikan kedai kita jelita di mata orang ramai dengan mencantikkan persepsi mereka terhadap bisnes kita dan diri kita, supaya mereka suka datang makan di kedai kita. Banyak cara dapat kita lakukan. Sebagai contoh, kita menyediakan kemudahan tandas bersih dan sudut sembahyang yang bersih.
Sebuah gerai makan yang popular di Tanjung Malim, pada setiap hari mulai jam 11 pagi meletakkan di tepi jalan di depan gerai itu satu container besar air sirap manis yang banyak air batunya disertai gelas-gelas kertas. Sesiapa sahaja boleh minum percuma. Yang paling banyak berhenti minum adalah penunggang motosikal yang kepanasan.
Sunday, October 25, 2009
Strategi Marketing dalam FB: Mencipta Persepsi Positif
Orang mempercayai bahawa produk kita bagus apabila mereka percaya diri kita bagus. Justeru, laburkan usaha supaya diri kita dipersepsi sebagai orang yang bagus di mata sahabat-sahabat FB kita, khususnya mereka yang tidak pernah mengenali kita di dunia luar.
Bagi mencipta kita orang yang dipandang bagus, caranya adalah dengan menampilkan petanda-petanda kebagusan personaliti kita.
Antara tanda-tanda kita orang yang bagus adalah:
(i) Kita menulis posting-posting yang menaikkan nilai-sosial diri kita. Dalam kata lain, orang suka membaca apa yang kita tulis disebabkan ia berguna kepada mereka.
(ii) Kita tidak menulis posting yang mencipta konflik dengan mana-mana pihak.
(iii) Kita menulis komen-komen positif pada posting sahabat-sahabat FB.
(iv) Kita menaikkan kredibiliti kita dengan menulis fakta-fakta sahaja, bukan pendapat ataupun penilaian.
(v) Kita menulis dengan menggunakan bahasa yang elok, tersusun, dan sopan.
(vi) Apabila ada sahabat FB yang sakit ataupun ditimpa kesusahan, kita mendoakan mereka.
dan seterusnya.....
Selagi orang belum yakin kita seorang yang bagus, jangan iklankan produk kita dahulu. Tunggu... Hanya apabila orang sudah betul-betul suka pada kita (nilai sosial kita tinggi), barulah sekali-sekala kita iklankan produk ataupun perkhidmatan kita.
Prinsip ini banyak persamaannya dengan iklan di TV. Kita tidak marah kepada pengiklan yang mengganggu siaran, dan kita sabar menunggu iklan itu tamat, hanya apabila program itu sangat bagus!
Saturday, October 24, 2009
Sangka Baik Restoran Minang
Kajian (di US) yang dilakukan oleh Jacques Wiesel ke atas 100 orang peniaga yang berjaya menjadi jutawan mendapati mereka semuanya mempunyai sifat suka bersangka baik terhadap orang-orang lain, terutamanya terhadap pelanggan dan rakan niaga.
Di alam Melayu, contoh amalan perniagaan yang berdasarkan sangka baik terhadap pelanggan adalah dalam budaya bisnes restoran Minang.
Apabila kita duduk sahaja di meja makan restoran Minang, serta-merta pekerja restoran itu datang dan melambakkan pinggan nasi serta bermacam-macam jenis lauk-pauk di atas meja kita.
Di sebalik layanan itu adalah budaya sangka baik bahawa pelanggan mempunyai banyak wang dan mampu membayar apa sahaja yang dimakannya.
| Reactions: |
Friday, October 23, 2009
Pancarkan Kredibiliti dalam Face Book
Kredibiliti adalah modal utama dalam FaceBook-marketing. Kredibiliti adalah sejauh mana orang percaya bahawa kita memiliki ilmu dan maklumat dalam perkara yang berkaitan bisnes kita.
Bagi menerangkan peri pentingnya kredibiliti, kita lihat bisnes doktor.
Doktor yang mempunyai klinik sendiri adalah bisnesman. Doktor tidak keluar mencari pelanggan, yakni pesakit. Pesakitlah yang pergi ke klinik doktor.
Sebagai orang bisnes, kita sering kali terkial-kial keluar mencari pelanggan. Dalam FB, kita menulis posting yang jelas menggambarkan kita terkial-kial mencari pelanggan.
Dapatkah kita menikmati posisi persis doktor? Dapatkah pelanggan yang datang mencari kita?
Ya, dapat. Apabila kredibiliti kita adalah setaraf dengan kredibiliti seorang doktor.
Di mata pelanggannya, si doktor itu adalah seorang pakar. Justeru mereka pergi kepada doktor itu bagi mendapatkan nasihat kepakarannya.
Pelanggan mencari kita apabila mereka yakin kita memiliki kepakaran berkenaan produk ataupun perkhidmatan yang kita tawarkan.
Justeru, tulislah posting-posting dalam Face Book mengenai perkara-perkara yang membuktikan kita memiliki kepakaran.
Bisnes Gerai Makan
Bisnes yang paling banyak diceburi oleh peniaga Melayu adalah bisnes membuka gerai makan.
Pemerhatian rambang menunjukkan budaya membuka gerai makan ini berlaku di kalangan peniaga Melayu. Payah sekali kita hendak berjumpa peniaga Cina dan Mamak membuka gerai makan. Mereka membuka restoran.
Disebabkan banyaknya orang Melayu aktif dalam sektor warung dan gerai makan, sektor ini patut diberikan penekanan yang lebih bagi membantu pemilik gerai-gerai makan Melayu meningkatkan bisnes mereka sehingga berjaya menjadi restoran.
Saya pernah berkenalan dengan seorang pengusaha warung makan di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Selama 7 tahun berniaga, warungnya sangat popular disebabkan beliau menawarkan banyak pilihan lauk-pauk dan sayur-sayuran.
Keuntungan daripada warungnya dijadikan modal membuka restoran di Taman Melawati juga, dengan modal tunai RM150 ribu (15 tahun yang lalu). Restorannya hanya bertahan 18 bulan, dan akhirnya terpaksa gulung tikar.
Bisnes warung makan dan restoran adalah sangat berbeza. Pandai berniaga warung tidak semestinya pandai berniaga restoran.
Wednesday, October 21, 2009
Bukti Bisnes Kita Bagus: Apa Nama Bank Kita
Sebagai peniaga kecil, apakah bukti bahawa bisnes kita bagus?
Banyak peniaga kecil membeli kereta besar bagi membuktikan bisnes mereka bagus oleh itu mereka mempunyai banyak wang sehingga mampu membeli kereta besar. Namun kereta mahal boleh juga menjadi bukti bahawa kita banyak berhutang.
Salah satu bukti bahawa syarikat kita bagus adalah cek bank apa yang kita gunakan. Jika kita menggunakan cek bank Cina, orang yakin syarikat kita bagus, sebab bank Cina sangat ketat apabila memilih pelanggan. Inilah salah satu faktor yang menyebabkan tidak banyak syarikat Melayu membuka akaun di bank Cina seperti Public Bank.
Syarikat Melayu yang berjaya mendapat fasiliti dari bank Cina bolehlah dimasukkan dalam kategori syarikat cemerlang.
Di kalangan peniaga Cina, jika sesebuah syarikat Melayu itu menggunakan cek Public Bank, mereka berani menjadi pembekal kepada syarikat itu, sebab bagi mererka, kalau Public Bank pun berani memberi fasiliti, maka itu bermakna syarikat Melayu itu boleh dipercayai.
Bank-bank Cina tidak peduli apa kereta yang kita pandu semasa menilai dan meluluskan permohonan kita bagi mendapatkan fasiliti. Mereka hanya mahu melihat akaun bank kita selama 6 bulan terakhir.
Tuesday, October 20, 2009
Tip Mencipta Perbualan Bermakna
Pakar-pakar pemasaran menggunakan Face Book memberitahu bahawa perkara paling utama yang mesti dilakukan apabila kita mahu menjalankan marketing dalam FB adalah "menyampaikan content", yakni informasi yang berguna kepada pembaca FB.
Content yang baik adalah informasi baru, iaitu perkara-perkara yang belum diketahui oleh rakan-rakan FB.
Informasi baru memainkan peranan penting dalam internet marketing kerana:
(i) Ia menaikkan nilai sosial diri kita.
Nilai sosial diri kita paling rendah apabila nama kita dipadam oleh rakan FB. Nilai kita paling tinggi apabila rakan FB menulis dan mengucapkan terima kasih atas posting kita.
(ii) Ia menaikkan kredibiliti diri kita.
Kredibiliti adalah sejauh mana orang percaya kita mempunyai kepakaran dalam perkara yang kita tuliskan. Kredibiliti sangat kritikal peranannya apabila kita hendak berbisnes dengan pelanggan yang berpelajaran tinggi. Mereka hanya mahu berurusan dengan individu yang kredibel.
Content yang perlu kita tuliskan itu pula bukan informasi berkenaan produk yang kita tawarkan, tetapi maklumat-maklumat yang mempunyai kaitan secara tidak langsung sahaja dengan produk kita itu.
Sebagai contoh, jika kita mahu menjual kasut, jangan bercerita tentang perbezaan harga kasut yang mahu kita jual dengan harga kasut yang serupa jika dibeli di kedai. Sebaliknya tulislah tentang sejarah kasut, ataupun museum kasut, ataupun kisah kasut Rasulullah, dan maklumat-maklumat sampingan lain tentang kasut.
Perkara utama kedua yang mesti kita lakukan adalah mencipta "perbualan bermakna" dengan rakan-rakan FB.
Kemahiran mencipta perbualan-bermakna adalah kombinasi seni dan sains. Seni yang terlibat adalah seni memilih kata-kata yang positif dan manis. Sains yang digunakan adalah sains psikologi.
Kita dapat mengukur sejauh mana posting yang kita tulis itu telah mencipta perbualan bermakna dengan mengira berapa komen yang ditulis oleh rakan-rakan FB pada posting kita.
Faktor 'know-who' Tidak Penting dalam Bisnes
Banyak orang amat yakin akan peri pentingnya faktor know-who dalam survival bisnes. Dalam bahasa orang bisnes, know-who disebut juga dengan istilah 'kabel'.
Dalam bisnes sebenar, know-who tidak penting. Yang amat penting adalah integriti yang tiada cacat-celanya. Bagi orang bisnes, integriti bermakna jangan tipu orang dan jangan lari dari membayar hutang.
Tidak ada dalam mana-mana buku teks bisnes yang mengajarkan bahawa faktor know-who adalah penting dalam bisnes.
Bisnes yang menggunakan kabel adalah bisnes yang tidak memenuhi ciri-ciri bisnes. Sebenarnya, ia adalah aktiviti jenayah kewangan dan jenayah moral yang dilakukan, kononnya atas nama bisnes.
Nota: Tidak ada ayat Quran ataupun hadis Nabi yang mengatakan dalam bisnes kita perlu mempunyai faktor know-who, sedangkan Nabi adalah seorang bisnesman, berkahwin dengan jutawan, dan bersahabat dengan jutawan-jutawan juga.
Sunday, October 18, 2009
Face Book Bukan Pasar Malam
Dalam Face Book, rakan-rakan yang sedang membaca posting tidak suka apabila tiba-tiba kita terpandang posting rakan FB yang terang-terangan cuba menjual produknya kepada kita.
Face Book adalah semacam kedai kopi tempat orang melepak sambil berbual-bual. Orang-orang dalam kedai kopi yang sedang duduk berbual-bual tidak suka jika tiba-tiba datang pula jurujual cuba menjual barangnya. Perbuatan itu sangat mengganggu, oleh itu dibenci orang.
Face Book bukan tempat orang berjual-beli. Oleh itu jangan menjual dalam FB.
Face Book sesuai dijadikan tempat kita mencari sahabat dan menjalin networking sahaja. Mudah-mudahan pada suatu hari nanti sahabat-sahabat kita itu akan menjadi pelanggan ataupun klien kita.
Justeru, cara kita mempromosi bisnes dalam Face Book tidak boleh serupa dengan cara-cara konvensional. Ia adalah suatu seni baru, yang menggunakan teori dan pendekatan baru sama sekali.....
Saya ada menulis entri-entri tentang strategi yang betul bagi menjalankan marketing dalam blog ini. Baca dalam entri yang lebih awal.
Friday, October 16, 2009
Kejayaan Sebagai Usahawan dan Kaitannya dengan Sangka Baik
Jacques Wiesel pernah menjalankan penyelidikan ke atas psikologi 100 orang peniaga yang bertaraf jutawan di Amerika.
Beliau mahu mengetahui apakah ada ciri-ciri psikologis individu peniaga yang berjaya menjadi jutawan dibandingkan dengan mereka yang tidak berjaya menjadi jutawan.
Hasil kajian itu beliau mendapati peniaga-peniaga yang berjaya menjadi jutawan semuanya mempunyai ciri "sentiasa suka bersangka baik, dan mereka sentiasa melihat kepada kebaikan yang ada pada orang-orang lain".
Menggurui Bakal Pelanggan dalam FaceBook
Bagi kita orang bisnes, FaceBook adalah tempat kita menjalin persahabatan-persahabatan baru, mudah-mudahan pada suatu hari nanti mereka akan menjadi pelanggan ataupun klien kita.
Salah satu perkara yang menyebabkan rakan FB kita mendapat kesan positif tentang diri kita adalah ayat-ayat yang kita gunakan apabila menulis posting dalam FB.
Ayat-ayat yang mencipta kesan positif adalah ayat-ayat yang informatif, yakni ayat-ayat yang menyampaikan maklumat. Ayat informatif mencerminkan kredibiliti kita.
Kredibiliti adalah sejuah mana kita mempunyai ilmu pengetahuan dalam topik yang kita tuliskan.
Pada asasnya ayat-ayat informatif memberi maklumat: "Apa, Siapa, Di mana, Bila dan Bagaimana."
Elakkan menulis ayat-ayat yang bunyinya seperti kita mahu menasihati, menyeru-nyeru, mengkritik, meleteri, memarahi ataupun membodoh-bodohkan rakan FB kita. Ayat-ayat seperti itu menyebabkan mereka berasa kita "menggurui" mereka.
Contoh ayat-ayat menggurui:
(i) Tahukah anda bahawa berjihad itu hukumnya wajib manakala melakukan umrah itu sunat sahaja? Tetapi banyak orang setiap tahun membelanjakan wang yang banyak pergi umrah, sebaliknya mereka berat tangan dan tidak mahu mengeluarkan wang bagi membantu mereka yang berjihad.
(ii) Berapa orang antara umat Islam yang tahu bahawa bekerja di bank konvensional bermakna kita makan gaji daripada hasil riba? Mereka bangga menjadi pegawai bank padahal kita memakan wang riba, sedangkan memakan riba adalah dosa yang berat.
(iii) Kerja adalah ibadat, tetapi banyak orang tidak ikhlas semasa menjalankan kerjanya. Mereka juga tidak menjalankan kerja sebagai amanah.
(iv) Sedarkah kita bahawa nasib manusia bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Allah, oleh itu jangan bergantung kepada manusia, sebaliknya kita wajib bergantung kepada Allah. Tetapi kebanyakan manusia tidak sedar.
Apabila kita menulis ayat-ayat menggurui seperti itu kita meletakkan diri kita lebih tinggi, lebih pandai dan lebih bijaksana daripada rakan-rakan FB kita.
Rakan-rakan FB kita yang berpelajaran mahukan informasi. Justeru, berikan infomasi. Sebagai orang-orang yang berpelajaran, mereka tidak mahu digurui oleh sesiapa.
Thursday, October 15, 2009
Fikirkan Marketing Sebelum Apa-apa
Bagi orang bisnes yang bisnesnya masih kecil, prioritinya adalah jual, jual, jual. Semasa bisnes kita masih kecil, kita sibuk menjual, sebab jualan membawa duit masuk.
Jualan amat kritikal bagi memastikan duit masuk. Kalau barang laku, tetapi kalau duit tidak masuk, habislah bisnes kita.
Pada asasnya, marketing adalah aktiviti yang matlamatnya adalah pendidikan pelanggan, yakni kita memberitahu pelanggan bahawa syarikat kita wujud, apa produk yang kita tawarkan, dan apa ciri-ciri istimewa pada produk kita.
Sebagai bisnesman kecil, kita tidak ada masa mahu memikirkan soal-soal marketing. Lagipun marketing adalah aktiviti yang menyebabkan duit keluar. Jadi, kita yakin marketing bukan perkara wajib-buat. Kita perlu menjual sebanyak-banyaknya dahulu. Marketing boleh ditangguhkan, tunggu sehingga bisnes kita cukup besar, sebab marketing memerlukan banyak duit.
Namun sebenarnya kebanyakan aktiviti marketing yang paling penting dilakukan adalah tidak memerlukan sebarang duit.
Aspek-aspek marketing perlu difikirkan semasa kita mula-mula hendak memilih produk apa yang hendak kita jual supaya kita tidak tersilap memilih produk.
Kita juga perlu memikirkan aspek marketingnya semasa hendak membuat keputusan apa bentuknya dan bagaimana produk itu akan dikeluarkan.
Semasa kita masih dalam fasa berfikir, kita tidak memerlukan duit.
Jika aspek-aspek marketing produk kita tidak difikirkan semenjak sebelum memulakan operasi bisnes, akibatnya nanti, duit yang dicari belum tentu dapat, duit modal kita pun boleh hilang.
Wednesday, October 14, 2009
Orang Bisnes dan Ketampanan Sosial
Ketampanan sosial sangat besar peranannya dalam kejayaan bisnes yang melibatkan sektor perkhidmatan peribadi, di mana kita mempunyai kontak langsung dengan pelanggan ataupun klien kita.
Ada 2 jenis ketampanan, iaitu (i) ketampanan fizikal, dan (ii) ketampanan sosial. Banyak orang yang ciri-ciri fizikalnya biasa-biasa sahaja, tetapi mereka memiliki ketampanan sosial yang luar biasa.
Ketampanan fizikal itu ada pada diri kita - hidung yang mancung, mata yang bulat, kulit yang putih kuning dan lain-lain lagi. Semakin kita tua, semakin berkurangan ketampanan fizikal kita.
Ketampanan sosial itu ada pada pandangan dan persepsi orang-orang lain mengenai diri dan karekter kita. Semakin kita tua, kita dapat dipandang semakin tampan oleh orang-orang yang mengenali kita.
Produk-produk kita bukan unik. Banyak produk lain dalam pasaran yang serupa dengan produk kita. Orang mempunyai banyak pilihan sama ada mahu membeli daripada kita ataupun orang lain.
Dalam bisnes, orang membeli daripada kita adalah disebabkan mereka menyukai diri kita. Dan, pelanggan kita bukan menyukai kita disebabkan hidung kita mancung ataupun kita memiliki kereta besar dan mahal.
Orang menyukai kita disebabkan kita mempunyai integriti dan kredibiliti.
Integriti adalah sejauh mana pelanggan kita percaya kita tidak menipu dia. Jadi, integriti adalah isu akhlak dan etika bisnes kita. Pendek kata, integriti menjadikan kita bisnesman yang baik.
Manakala kredibiliti adalah sejauh mana pelanggan kita percaya kita mempunyai pengetahuan berkenaan produk ataupun perkhidmatan yang ditawarkan kepadanya. Jadi, kredibiliti adalah isu ilmu dan kepakaran kita.
Integriti dan kredibiliti berperanan serentak dalam mencipta ketampanan sosial kita.
Tuesday, October 13, 2009
Mempromosi Diri Sendiri dalam Face Book
Menurut pakar komunikasi yang mengkaji tingkah laku pengguna Face Book, majoriti pengguna FB menulis dengan pendekatan yang sangat egoistik kerana posting-posting yang mereka tulis adalah bertemakan "aku, aku.... dan aku".
Bagi kita orang bisnes, Face Book adalah alat kerja kita menjalankan urusan bisnes, oleh itu ada teknik-teknik menulis posting FB yang efektif bagi tujuan bisnes, dan ada yang sebaliknya.
Setiap patah perkataan yang kita tuliskan dalam posting FB kita mendedahkan banyak maklumat berkenaan siapa diri kita yang sebenar.
Orang melihat bisnes kita dengan melihat siapa diri kita. Apabila mereka melihat diri kita sebagai orang bisnes yang baik, maka mereka cenderung melihat produk kita sebagai produk yang baik juga.
Oleh itu, apabila menulis posting dalam FB, gunakan perkataan-perkataan yang meningkatkan aspek ketampanan sosial diri kita.
Tuliskan posting-posting FB bagi melukiskan gambaran bahawa kita adalah bisnesman yang baik.
Apabila kita menggunakan FB sebagai tempat kita meluahkan emosi-emosi negatif, hal itu akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakan-rakan FB terhadap diri dan karekter kita, sekaligus bisnes kita....
Sunday, October 11, 2009
Mengukur Hasil Marketing dalam Face Book
Apabila kita menggunakan FaceBook bagi memasarkan bisnes kita, bagaimanakah kita mahu mengukur sama ada pemasaran yang kita lakukan itu efektif ataupun tidak.
Caranya adalah dengan mengira sebanyak mana posting-posting yang kita tulis itu menerima komen. Semakin banyak komen yang ditulis oleh rakan-rakan FB kita, maka diandaikan semakin efektif pemasaran yang kita lakukan.
Dari sudut marketing, tidak semua komen serupa nilainya dari. Ada komen yang bagus untuk bisnes kita, ada yang kurang bagus, dan ada yang tidak bagus.
Komen-komen yang bagus adalah:
(1) Komen daripada pengguna yang puas hati.
(2) Komen yang mengandungi testimonial berkenaan bagusnya kualiti produk ataupun perkhidmatan yang kita tawarkan.
(3) Komen yang bertanya di mana produk kita itu dapat dibeli.
(4) Komen yang bertanya berapa harga produk kita.
NOTA: Jangan iklankan produk ataupun perkhidmatan kita secara terang-terangan dalam FB, sebab rakan-rakan FB membenci perbuatan begitu, dan mereka akan padam nama kita.
Pamerkan Staf Kita
Salah seorang mentor bisnes saya adalah seorang perempuan Cina asal Taiwan yang jelita. Beliau berkahwin dengan lelaki Cina tempatan. Sebagai warga asing, beliau menjadi kontraktor ubah-suai pejabat dan rumah secara kecil-kecilan.
Saya berkenalan dengan beliau sewaktu saya pertama kali membuka pejabat bisnes saya sendiri.
Beliau dihantar berjumpa saya oleh peguam Cina yang saya sewa satu sudut di ruang kosong lantai pejabatnya, jadi saya perlukan dinding partition.
Saya meminta kontraktor jelita itu membuat bilik khas untuk saya, manakala 3 orang pembantu saya duduk di luar bilik saya.
Beliau berkata kepada saya, "Jangan buat bilik-bilik. Kasi orang tengok awak banyak pekerja. Nanti orang tahu bisnes awak banyak...."
Nasihatnya itu saya gunakan sehingga hari ini.
Nota: Sebagai kontraktor, sebenarnya dia telah memberikan kepada saya nasihat yang menguntungkan saya dan merugikan bisnesnya sendiri, sebab jika dia ikut sahaja kemahuan saya, saya terpaksa membayar dia lebih banyak!
Saturday, October 10, 2009
Kelebihan Membeli Meja Second-hand untuk Pejabat
Semasa saya baru pertama kali hendak membuka pejabat bisnes, saya menyewa ruang 10 kaki x 12 kaki di sudut lantai pejabat seorang peguam bangsa Cina di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.
Peguam Cina itu memanggil kontraktor Cina supaya membuatkan dinding sekatan ruang yang saya sewa, dan saya yang harus membayar kos membuat sekatan itu.
Semasa kontraktor itu sedang bekerja, dia bertanya saya apakah saya sudah mempunyai kerusi meja. Saya jawab, belum.
Lalu dia menasihati saya supaya membeli kerusi meja second-hand sahaja, bukan yang baru. Kemudian dia memberitahu alamat kedai second-hand yang tidak jauh dari situ.
Menurutnya, dengan menggunakan kerusi meja second-hand, orang yang datang ke pejabat saya nanti menyangka bisnes saya itu sudah lama, oleh itu mereka akan lebih mempercayai saya.
Friday, October 9, 2009
Membeli Bangunan Sendiri
Apabila kita mahu membeli bangunan sendiri, yang manakah lebih baik, membeli bangunan baru siap, ataupun membeli bangunan atas tangan?
Antara faktor yang perlu diambil kira adalah pinjaman bank bagi membiayai pembelian itu.
Apabila kita membeli bangunan baru dari syarikat developernya, bank akan memberi pinjaman berdasarkan harga jualan dari developer. Bank tidak menilai lagi berapa nilai pasaran bangunan itu.
Katakanlah, bangunan baru itu berharga RM1.2 juta. Bank sanggup memberi pinjaman RM1 juta. Ini bermakna kita perlu membayar kepada developer RM200 ribu.
Apabila kita membeli dari tangan orang, bank akan menilai dahulu berapa nilai pasaran bangunan tersebut. Kemudian bank akan menentukan berapa peratus sahaja yang ia sanggup beri pinjaman.
Jadi, pemilik bangunan mungkin mahu menjual dengan harga RM1 juta. Tetapi bank menilai bangunan itu cuma bernilai RM800 ribu. Kemudian, bank cuma berani memberi pinjaman RM600 ribu. Ini bermakna kita perlu membayar RM400 ribu!
Berniaga dengan Cina
Di negara kita ini, bisnesman Melayu tidak dapat berniaga dengan tidak berurusan dengan peniaga Cina, melainkan dalam perniagaan kecil seperti menjual sayur-sayuran liar, seperti pucuk paku, kepada pembeli Melayu juga.
Peniaga Melayu juga tidak dapat mengembangkan bisnesnya tanpa mendapatkan dukungan peniaga-peniaga Cina.
Justeru bisnesman Melayu perlu belajar cara-cara yang betul bagi mendapatkan dukungan dan sokongan orang-orang Cina.
Modal utama berniaga dengan orang Cina adalah integriti diri kita sendiri.
Integriti adalah sejauh mana orang dapat menaruh kepercayaan kepada kata-kata kita dan tingkah laku kita. Ringkasnya, sejauh mana kita tidak akan berdusta dan menipu sesiapa.
Berniaga dengan orang Cina adalah serupa sahaja dengan berniaga dengan apa-apa bangsa sekalipun. Perkara-perkara yang betul kepada bangsa-bangsa lain adalah betul kepada orang Cina.
Thursday, October 8, 2009
Helah Bela Diri dengan Memburuk-burukkan Cina
Barangkali kita pernah mendengar bisnesman Melayu, yang pada suatu masa dahulu bisnesnya maju tetapi sekarang sudah tutup. Apabila ditanya mengapa, mereka menjawab dengan mengatakan bisnes mereka disabotaj oleh Cina.
Sebagai contoh, ada penternak ikan keli yang 20 buah kolamnya sekarang terbengkalai, yang mengatakan dulu bisnesnya sangat bagus, semua ikan kelinya laku, tetapi kemudian Cina yang membekalkan makanan ikan telah mensabotaj bisnesnya dengan tidak mahu membekalkan makanan ikan lagi.
Ataupun kisah pembuat kicap yang bisnesnya kini bungkus, yang mengatakan apabila kicapnya sangat laku, Cina yang membekalkan kacang kepadanya mensabotaj bisnesnya dengan tidak mahu membekalkan botol lagi.
Sebagai orang bisnes, apabila bisnes kita tutup, maruah kita jatuh dan kita sangat malu kepada semua orang yang mengenali kita. Salah satu cara kita menutup malu adalah dengan mencipta cerita-cerita yang dapat meyakinkan orang-orang itu bahawa bisnes kita tutup bukan disebabkan kesilapan dan kebodohan kita, sebaliknya kita menjadi mangsa pihak-pihak lain yang jahat.
Pembekal Cina tidak mahu meneruskan kredit bekalan apabila kita tidak membayar hutang lama. Kalau mahukan bekalan baru, bayar dahulu hutang lama, ataupun beli secara tunai.
Semua peniaga mahu membayar hutang. Tetapi apabila mereka gagal membayar hutang, itu adalah disebabkan mereka tidak mempunyai duit bagi membayar hutang itu. Mengapakah mereka tidak mempunyai duit? Hal begini berlaku disebabkan oleh banyak kesilapan si peniaga sendiri, bukan salah pembekal Cina.
Bagi kita orang bisnes, apabila bisnes kita jatuh, maruahnya juga jatuh, dan kita berasa tersangat malu.
Demi menjaga maruah, kita akan bercerita kepada orang-orang di sekeliling kita dengan mengatakan bahawa kejatuhan bisnes kita itu bukan akibat kesilapan kita sendiri tetapi disebabkan kejahatan pihak lain di mana kita hanya menjadi mangsanya sahaja. Inilah tingkah laku yang disebut oleh pakar-pakar psikologi sebagai 'helah bela-diri'.
Wednesday, October 7, 2009
Berniaga dengan Menggunakan Duit Cina
Apabila kita berniaga, kita akan menggunakan duit 3 pihak: (i) Duit kita sendiri, (ii) Duit Cina, dan (iii) Duit bank.
Cara kita menggunakan duit Cina adalah dengan menjadikan peniaga-peniaga Cina sebagai pembekal.
Apa juga jenis perniagaan memerlukan bekalan barang-barang modal. Kebanyakan barang modal perniagaan dapat dibekalkan oleh peniaga Cina.
Sebagai contoh, apabila kita membuka salun rambut, kita memerlukan segala macam kimia perawatan rambut. Apabila kita mendapat kredit daripada pembekal kimia itu, bermakna kita sudah berniaga menggunakan duit si pembekal sebagai modal kita.
Apabila kita membuka bengkel membaiki motorsikal, kita memerlukan pelbagai barang ganti spare-parts. Perniagaan spare-parts adalah dalam tangan peniaga Cina, justeru kita perlukan bekalan dan kemudahan kredit dari mereka.
Semakin panjang tempoh kredit yang sanggup diberikan oleh pembekal-pembekal Cina kepada kita, bermakna semakin panjang tempoh kita berhutang kepada mereka, dan semakin lama kita dapat memutarkan duit yang kita pinjam itu bagi menghasilkan lebih banyak keuntungan.
Dengan mendapatkan Cina menjadi pembekal secara kredit, sebenarnya mereka adalah 'bank' yang meminjamkan wang kepada kita. Bezanya, bank meminjam wang tunai, manakala pembekal Cina meminjamkan wang dalam bentuk barangan ataupun perkhidmatan yang bayarannya ditangguhkan selama tempoh kredit itu.
Tuesday, October 6, 2009
Kelebihan Menolong Bisnes Orang Lain
Sebagai orang bisnes, jika kita mahu bisnes kita berkembang dengan menggebu-gebu, salah satu perkara yang perlu kita lakukan adalah menolong bisnes orang-orang lain supaya mereka juga untung dan maju.
Menolong bisnes orang lain termasuklah menolong peniaga-peniaga lain yang produk ataupun perkhidmatannya serupa dengan bisnes kita sendiri.
Sebagai contoh, jika kita berniaga petai, kita perlu menolong peniaga-peniaga lain yang menjual petai juga. Jika kita tahu pembekal petai yang lebih bagus kualiti dan perkhidmatannya, beritahu maklumat itu kepada peniaga-peniaga petai lain.
Malah kita perlu menolong peniaga-peniaga yang berniaga di sekeliling gerai kita sendiri. Jika kita menjual sate di medan selera di mana kita membuka gerai itu ada gerai-gerai sate lain, kita perlu menolong dia supaya bisnesnya semakin laku.
Sebagai contoh, jika meja gerai kita sudah penuh, beritahu pelanggan yang tidak dapat meja supaya pergi makan sate di gerai sate lain yang tidak jauh dari gerai kita sendiri. Beritahu bahawa sate di gerai itu pun sedap juga. Lain kali, pemilik gerai sate itu akan menyuruh pelanggannya makan sate di gerai kita apabila gerainya sudah penuh, ataupun satenya sudah habis.
Apabila kita berbuat baik kepada peniaga-peniaga yang berjiran dengan gerai kita, mereka akan membantu kita semasa kita mengalami kesusahan. Sebagai contoh, jika kita kehabisan mee, sedangkan pelanggan kita mahukan mee goreng, maka kita dapat meminjam mee daripada mereka....
Monday, October 5, 2009
Mudahnya Main Bisnes Kontrak
Banyak orang percaya, menjadi kontraktor kepada kerajaan adalah bisnes yang paling bagus. Alasan yang mereka berikan adalah:
(i) Menjadi kontraktor tidak memerlukan banyak modal. Kita hanya perlu menubuhkan syarikat sendirian berhad dengan aktiviti kontraktoran, kemudian mendaftarkan nama syarikat itu di kementerian kewangan sebagai kontraktor.
(ii) Dengan menjadi kontraktor kerajaan, kita dapat membuat keuntungan besar sekelip mata, tanpa perlu bekerja berpenat-lelah. Kontrak yang diperoleh itu dapat dijual kepada syarikat kontraktor Cina yang akan menjadi sub-kontraktor.
(iii) Menjadi kontraktor kerajaan adalah sangat mudah. Bagi mendapatkan kontrak puluhan juta, malah ratusan juta, kita hanya perlu menubuhkan syarikat dengan modal RM2 sahaja.
(iv) Yang penting kita mesti ada 'kabel' dengan orang-orang politik yang memegang jawatan dalam kerajaan, seperti perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri, eksko Dewan Undangan Negeri, dan lain-lain, di mana mereka mempunyai kuasa memberikan kontrak-kontrak kerajaan.
(v) Bagi membuat 'kabel' bisnes, caranya sangat mudah. Kita hanya perlu berbaik-baik dan berpakat-pakat dengan isteri orang politik, mertuanya, anaknya, menantunya, adik beradiknya, kroni-kroninya dan individu-individu yang seperti itu.
Tetapi, bak kata pepatah, "Api yang cepat marak, cepat padamnya." Maksudnya, bisnes yang cepat naik, cepat juga jatuhnya.
Risiko Bergantung pada Kontrak Kerajaan
Banyak orang membuka syarikat dengan tujuan mahu mendapatkan kontrak kerajaan.
Salah satu kelemahan menjalankan bisnes dengan menjadi kontraktor kerajaan adalah, bisnes itu tidak dapat diturunkan kepada anak-anak.
Kontrak kerajaan sangat berkait rapat dengan hubungan peribadi antara pemilik syarikat dengan orang-orang dalam kerajaan. Apabila pemilik syarikat meninggal dunia, hubungan itu terputus.
Inilah salah satu faktor mengapa banyak syarikat kontraktor kerajaan tutup bisnes apabila pemiliknya meninggal dunia, disebabkan anak-anaknya tidak dapat meneruskan hubungan baik yang pernah dijalin oleh arwah ayahnya dengan orang-orang dalam kerajaan.
Bagi mengatasi risiko itu, sebagai kontraktor kerajaan, sedari awal jangan libatkan anak-anak dalam syarikat kontraktor kita.
Dorong anak-anak membuka bisnes masing-masing dalam bidang masing-masing. Gunakan wang keuntungan bisnes kontrak itu bagi membantu dan memodali anak-anak memulakan bisnes mereka sendiri dalam bidang-bidang yang mereka minati.
Jadi, apabila kita meninggal dunia, anak-anak kita sudah mempunyai bisnes masing-masing yang kukuh.
Sunday, October 4, 2009
Hutang dan Kepercayaan Pembekal
Duit sangat penting dalam bisnes. Tetapi duit bukan faktor paling penting dalam kejayaan berbisnes.
Faktor yang paling penting adalah integriti kita.
Integriti adalah sejauh mana orang menaruh kepercayaan kepada diri kita. Dalam dunia bisnes, integriti bermakna apakah orang percaya bahawa kita tidak sekali-kali akan menipu mereka.
Dalam perniagaan, istilah kredit bermakna hutang. Berhutang adalah proses normal dalam pengurusan bisnes. Semakin besar bisnes kita, semakin besar hutang-hutang kita. Semakin tinggi integriti kita, semakin peniaga-peniaga lain berani memberi kita kredit.
Dalam urusan berhutang, jangan sekali-kali berbohong. Jangan sekali-kjali kita memberi janji palsu.
Apabila kita tidak mempunyai duit yang cukup bagi membayar hutang pembekal, jangan diam-diam sahaja. Segera telefon pembekal dan terangkan kedudukan kita, serta minta maaf.
Gagal membayar hutang pada tarikh yang dijanjikan bukan perkara yang menyebabkan integriti kita musnah. Yang menyebabkan pembekal hilang kepercayaan kepada kita adalah perbuatan kita diam sahaja apabila tidak dapat membayar hutangnya.
Bagi menjaga integriti, beritahu pembekal bahawa kita tidak lupa pada hutang yang mesti dibayar. Apabila pembekal yakin bahawa kita sentiasa ingat akan hutang kita, hati pembekal itu tenteram, dan dengan itu dia akan terus mempercayai kata-kata kita.
Jika kita tidak dapat membayar jumlah hutang yang dijanjikan, jangan pula tidak membayar langsung. Bayar hutang mesti bayar. Bayarlah sebahagian daripada hutang itu. Dengan demikian pembekal akan kekal percaya bahawa kita bukan pembohong ataupun penipu.
Saturday, October 3, 2009
Tiada Rahsia Bisnes
Individu yang belum mempunyai banyak pengalaman menjalankan bisnes mungkin percaya pada apa yang disebut 'rahsia bisnes'. Justeru mereka tercari-cari apa rahsia bisnes.
Apabila kita mencari-cari apa 'rahsia' kejayaan pada bisnes orang-orang lain, maka seolah-olah kita percaya bahawa kononnya ada apa yang disebut sebagai (i) jalan mudah, dan (ii) jalan pintas, bagi membuat duit yang banyak dengan menceburi dunia bisnes. Ini tidak benar.
Duit yang banyak tidak datang dengan cara yang mudah dan cepat kerana duit dalam akaun bank kita adalah hasil daripada daya usaha. Semakin banyak daya usaha, semakin banyak duit yang akan masuk ke dalam akaun bank kita.
Duit adalah bukti kerasionalan cara berfikir si bisnesman semasa membuat keputusan-keputusan yang melibatkan duit. Apabila keputusan-keputusan yang dibuatnya betul, maka banyak duit akan masuk ke dalam akaun banknya. Apabila keputusannya salah, maka akibtanya duit yang dicari tidak masuk, duit yang ada dalam tangan pula hilang.
| Reactions: |
Friday, October 2, 2009
Adab Menulis Emel
Bagi orang bisnes, semua emel adalah emel bisnes. Termasuklah emel-emel sosial, seperti emel bagi mengucapkan selamat menyambut hari lahir ataupun selamat berangkat menunaikan umrah.
Emel-emel bisnes yang kita tulis berfungsi sebagai mata kail yang kita gunakan bagi memancing keluar duit-duit dari akaun bank orang-orang lain supaya dapat kita pindahkan masuk ke dalam akaun bank kita.
Justeru, objektif penghantaran emel adalah bagi memenuhkan akaun bank kita dengan duit orang-orang lain, yang telah dengan suka hati menyerahkan wang mereka kepada kita sebagai tukaran bagi produk dan perkhidmatan yang kita berikan.
Bagi menjalankan fungsi mata-kailnya, emel-emel itu perlu pertama-tamanya sedap dibaca oleh si penerima emel.
Emel yang sedap dibaca adalah emel yang memenuhi keperluan psikologis si pembaca.
Emel yang ditulis dengan mematuhi adab-adab dalam sesuatu budaya adalah emel yang berpotensi dapat memenuhi keperluan psikologis penerimanya.
Thursday, October 1, 2009
Karisma dan Habit Mulut
Kejayaan dalam bidang bisnes dapat menjadikan seseorang bisnesman itu dipandang karismatik.
Karisma mempunyai peranan dalam membina kejayaan bisnes kerana bisnesman yang memiliki karisma mempunyai peluang menjalankan bisnesnya dengan lebih berjaya. Dengan karisma itu, dia dapat menjadikan bisnesnya semakin berjaya kerana karisma adalah salah satu faktor yang menyebabkan dia lebih berpengaruh.
Jika kita membuka kedai runcit ataupun bengkel membaiki motorsikal, kita tidak memerlukan karisma. Tetapi, ada jenis-jenis bisnes yang mendapat manfaat daripada karisma pemilik bisnes itu.
Contoh bidang bisnes yang mendapat manfaat daripada karisma pemiliknya adalah:
(i) Bisnes yang bergantung kepada populariti si bisnesman, sebagai contoh bisnes dalam bidang entertainment, sukan dan motivasi.
(ii) Bisnes yang pelanggannya adalah golongan profesional dan berpendidikan tinggi sekular, seperti bidang konsultansi kepakaran dan undang-undang.
(iii) Bisnes dalam bidang teknikal dan teknologi tinggi.
Namun karisma adalah sesuatu yang dapat dirosakkan dari sudut pandang orang yang menilainya.
Banyak faktor dapat merosakkan karisma seseorang, seperti skandal, jatuh miskin, hilang populariti dan banyak lagi.
Salah satu faktor yang boleh mencacatkan (bukan merosakkan) karisma seseorang adalah 'habit mulut' semasa bercakap.
Habit mulut adalah kata-kata, ataupun bunyi-bunyi bukan-bahasa (seperti "aa... aa..."), yang terkeluar dari mulut secara refleks.
Ada orang yang diberi nama-nama jolokan oleh orang-orang di sekeliling mereka berdasarkan habit mulut mereka.
Jika seseorang itu selalu menyebut "OK... OK..." apabila bercakap, maka dia diberi jolokan "MR. OK".
Jika seseorang itu suka menyebut "so... so..." semasa bercakap, maka dia mungkin diberi nama jolokan "MR. SO-SO".
Jika seseorang itu suka menyebut "Right?... Right?" maka dia mungkin diberi jolokan "MR. RIGHT".
Nama-nama jolokan, seperti "Mr. Ok". "Mr. So-so", ataupun "Mr. Right", tetap mencacatkan karisma.
Patutlah Nabi Muhammad tidak membenarkan kita memberi nama jolokan yang tidak cantik maknanya kepada orang lain.
Wednesday, September 30, 2009
Tip Menulis Emel Bisnes yang Efektif
Surat-surat bisnes yang kita tulis boleh menarik duit keluar dari akaun bank orang lain dan memasukkan duit itu ke dalam akaun bank kita.
Peraturan menulis surat bisnes konvensional dan surat bisnes emel adalah serupa. Apa yang betul bagi surat konvensional adalah betul bagi surat emel, dan demikian juga sebaliknya.
Surat emel yang elok dimulai dengan salam dan kemudian dituliskan sepotong doa.
Tip menulis salam:
(i) Jika surat itu ditulis untuk orang Islam, tuliskan "Asalamualaikum." Jangan hanya ditulis "Salam" sebab itu menggambarkan sikap malas dan hanya bahasa basa-basi.
(ii) Jika penerima surat itu bukan-Islam, tulis "Salam sejahtera".
(iii) Elakkan menulis salam yang trendi dan mengada-ngada seperti "Salam Merdeka" ataupun "Salam Ceria" ataupun "Salam 1 Malaysia" dan yang seperti itu.
Tip menulis doa:
(i) Jika kita tidak kenal orang itu secara peribadi, tuliskan doa umum yang ringkas, seperti: "Didoakan tuan sentiasa sihat dan diberkati Allah. Amin."
(ii) Jika orang itu orang bisnes, tuliskan doa yang temanya adalah kemakmuran bisnes, seperti: "Didoakan tuan sentiasa sihat, murah rezeki, dan perniagaan tuan berkembang pesat. Amin."
(iii) Jika orang itu seorang yang mempunyai perjuangan, tuliskan doa untuk perjuangannya, seperti: "Didoakan tuan sentiasa sihat dan perjuangan tuan diberkati Allah. Amin."
(vi) Jika orang itu bukan-Islam, tuliskan ayat harapan, seperti: "Diharapkan tuan sentiasa sihat dan perniagaan tuan berkembang maju dengan jayanya."
(vii) Jika kita kenal orang itu secara peribadi, dan kita kenal keluarganya, tuliskan doa untuk keluarganya juga, seperti: "Didoakan tuan dan seluruh anggota keluarga tuan sentiasa sihat, berbahagia, dan dirahmati Allah. Amin."
(viii) Jika orang itu amat kita kenali, umpamanya dia adalah rakan perniagaan, tuliskan doa yang lebih peribadi, seperti: "Didoakan saudara sihat, produk-produk saudara laku meletup-letup di pasaran, dan saudara mendapat pesanan lebih besar tahun hadapan. Amin."
(ix) Jika orang itu seorang yang sangat besar budinya kepada kita, maka tuliskan doa yang panjang, sebaik-baiknya doa yang dipetik dari al-Quran ataupun hadith.
Doa-doa yang kita tuliskan dengan ikhlas adalah penyejuk jiwa kepada yang menerima surat-surat emel kita itu. Dengan adanya doa-doa itu maka surat emel yang kita karang menjadi lebih halus dan santun apabila dibaca.
Ketawa Orang Bisnes
Orang bisnes yang bisnesnya berkembang baik, dan oleh itu kewangannya stabil, dapat dikenal dengan pelbagai cara. Salah satu cara itu adalah dengan mendengar tawanya.
Ketawa orang bisnes yang mempunyai banyak duit dalam akaun banknya tidak serupa dengan ketawa orang bisnes yang hutangnya lebih banyak daripada duitnya.
Orang yang tidak mempunyai banyak duit, malah dia mempunyai banyak hutang, tidak berani ketawa.
Meskipun dia memandu kereta mahal, tanpa memiliki banyak duit dalam akaun banknya, apabila dia ketawa, tawanya tidak lepas, macam tersekat-sekat.
Di saat orang lain ketawa terbahak-bahak, orang yang banyak hutang tidak dapat ikut ketawa terbahak-bahak kerana dia tidak dapat melupakan hutang-hutangnya kepada bank, kepada pembekal, kepada pekerjanya dan lain-lain hutang.
Monday, September 28, 2009
Risiko Membeli Kereta Besar
Ada pendapat yang mengatakan bahawa orang bisnes perlu menunjukkan 'bukti-bukti' bahawa bisnesnya bagus dan dia mempunyai banyak wang dengan membeli dan memandu kereta besar. Dengan cara itu, kata mereka, barulah mudah hendak buat bisnes sebab orang percaya mereka mampu membayar hutang.
Banyak orang yang baru memulakan bisnes yakin bahawa pendapat seperti itu benar, lalu belum apa-apa mereka membeli kereta besar.
Apabila towkay membeli kereta besar, beberapa perkara yang merugikan bisnesnya mungkin berlaku:
(i) Para pembekal yang memberi kredit berasa khuatir si towkay akan culas membayar hutang disebabkan duit yang sepatutnya digunakan bagi membayar hutang mereka digunakan bagi membayar hutang dan maintainance kereta besar itu.
Akibatnya para pembekal sedia ada yang selama ini memberi kemudahan kredit akan menekan si towkay supaya hutang mereka cepat-cepat dibayar semuanya. Kalau tidak dibayar, mereka tidak mahu menghantar bekalan baru.
(ii) Apabila si towkay cuba mendapatkan bekalan dari pembekal baru, pembekal itu tidak berani memberi kredit. Kalau mahu bekalan, mesti bayar dahulu, baru bekalan dihantar.
(iii) Para pekerja khuatir gaji mereka mungkin tidak akan dibayar secara regular, ataupun elaun overtime dan bonus mereka akan dipotong.
(iv) Motivasi kerja di kalangan pekerja mungkin jatuh sebab mereka berasa hasil penat-lelah mereka telah digunakan oleh si towkay untuk membeli kereta besarnya, bukan dikongsi bersama dalam bentuk kenaikan gaji dan elaun mereka.
Jangan Bersaing dalam Bisnes
Axiom, (ejaan Melayunya aksiom), adalah kata-kata orang biasa yang sangat diketahui ramai dan dipercayai sebagai sesuatu yang benar.
Salah satu aksiom dunia bisnes yang sering kita dengar adalah: Kalau mahu berjaya dalam bisnes, kita mesti belajar bersaing, dan mesti pandai bersaing.
Jangan percaya kepada persaingan.
Tiada nas yang mengatakan 'kalau mahu berjaya dalam perniagaan, kita mesti belajar bersaing dan mesti pandai bersaing'.
Islam berpegang pada konsep 'berlumba-lumba'.
Konsep berlumba-lumba sangat berbeza daripada konsep bersaing. Bersaing bermakna mendapatkan kemenangan dengan cara mengalahkan orang-orang lain.
Berlumba-lumba bermakna tidak ada yang kalah, yakni semua orang menang, cuma siapa yang lebih menang, itu sahaja.
Dengan mengamalkan konsep berlumba-lumba kita sentiasa memberikan kerjasama kepada sesiapa sahaja demi membantu bisnes mereka supaya berjaya.
Buat bisnes adalah kerja orang bisnes, manakala duit adalah kerja Tuhan. Tuhanlah yang menentukan siapa yang mendapat banyak duit, dan siapa yang mendapat lebih banyak duit.
Atas nama persaingan, orang-orang yang pandai merosakkan bisnes orang lain, belum tentu dia yang dikurniai paling banyak duit oleh Tuhan.
Yang sudah pasti Islam menjanjikan: "Apabila kamu meringan beban saudara kamu, maka Allah akan meringankan beban kamu."
Sunday, September 27, 2009
Bahasa: Biar Terlebih Jangan Terkurang
Bahasa adalah sejenis currency - matawang.
Bahasa yang digunakan dengan betul dalam Face Book dapat menterjemahkan peluang bisnes menjadi duit tunai. Begitu juga sebaliknya. Bahasa yang digunakan dengan salah menyebabkan kita hilang peluang membuat duit.
Semasa menulis dalam FB, antara aspek-aspek komunikasi interpersonal yang wajib dijaga dengan ketat sekali adalah:
(i) Jangan yakin bahawa kita tahu apa yang ada dalam hati orang-orang lain.
Kita mungkin suka hendak bermesra-mesra dengan prospek pelanggan kita dalam FB, tetapi orang itu belum tentu mahu dirinya dimesra-mesrai dengan cara-cara yang kita gunakan itu.
Pendek kata, jangan kita melantik diri sendiri menjadi jurucakap orang lain. Walaupun orang itu hanya pengawal keselamatan, jangan kita berkata dalam hati: "Dia tentu okay kalau aku panggil dia 'abang' sahaja."
Dari mana kita tahu orang itu okay apabila kita panggil dia 'abang'? Inilah yang dikatakan kita melantik diri kita menjadi jurucakap orang lain.
Orang awam macam kita mungkin okay apabila dipanggil 'encik', tetapi pegawai tinggi dalam pasukan beruniform, seperti tentera, polis, kastam, imigresen dll, suka dipanggil 'tuan' oleh orang awam sekalipun.
(ii) Jangan meng-impose nilai-nilai peribadi kita ke atas prospek pelanggan kita.
Teknik-teknik komunikasi dan gaya bahasa yang kita sukai belum tentu disukai oleh orang-orang lain. Jadi, jangan kita paksakan cara-cara dan citarasa kita ke atas orang-orang lain.
Kita mungkin suka menulis dan bercakap menggunakan you-I-you-I dengan orang-orang lain. Jadi, kita tidak berasa apa-apa jika orang bercakap dengan kita menggunakan you-I-you-I.
Tetapi bukan semua orang macam kita, kerana bagi mereka you-I-you-I serupa maknanya dengan engkau-aku-engkau-aku (itulah sebab tidak akan ada sesiapa yang bercakap menggunakan you-I-you-I apabila bercakap dengan ibu dan bapa mertuanya sebab bercakap begitu adalah biadab).
Jika prospek pelanggan kita bercakap you-I-you-I kepada kita, kita jangan ikut gaya bahasanya.
Pendek kata, bak istilah Inggerisnya, jangan kita ‘take liberty’ ke atas orang-orang lain.
Apabila bercakap dengan prospek, tanya dahulu kepada orang itu bagaimana sebaiknya kita memanggil dia. Sebagai contoh, kita bertanya: "Minta maaf, bolehkah saya bertanya sedikit? Apakah panggilan yang sesuai saya gunakan - Datin ataupun Dr.?"
Kalau dia menjawab: "Mana-mana pun boleh."
Kita hendaklah berkata: "Kalau begitu, bolehkah saya gunakan Datin?"
Prinsip yang selamat diikuti dalam apa juga interaksi interpersonal adalah: Biar terlebih, jangan sekali-kali terkurang.
Contoh aplikasi prinsip ini: Kalau kita tidak pasti apakah orang itu seorang yang bergelar Dato’, maka panggil dia Dato’. Jangan sekali-kali panggil dia Encik.
Kalau dia menjawab, “Saya bukan Dato’,” jangan kita jawab, “Minta maaflah, saya silap.”
Jawapan yang betul adalah, “InsyaAllah! Saya doakan tidak lama lagi Tuan menjadi Dato’. Amin.”
Begitulah halnya, jika kita tidak yakin orang itu masih Dato’ ataupun sudah menjadi Tan Sri, maka panggilah Tan Sri.
Jangan sekali-kali membahasakan pelanggan perempuan (tanpa mengambil kira berapa umurnya) dengan panggilan kampungan seperti 'mak aji', 'makcik', 'kakak' ataupun 'adik'.
Biar terlebih, jangan terkurang.
Saturday, September 26, 2009
Meningkatkan Nilai Diri Kita dalam Face Book
Strategi dan teknik pemasaran dalam Face Book tidak boleh serupa dengan strategi dan teknik pemasaran dalam media cetak tradisional seperti brosur, papan iklan, dan iklan dalam akhbar serta majalah.
Oleh itu, apabila kita melakukan promosi dalam FB, jangan paparkan iklan yang pada asalnya disediakan untuk media cetak. Perkara seperti itu dianggap ofensif oleh rakan-rakan FB dan mereka akan padam nama kita.
FB adalah salah sebuah 'media sosial'. Dalam pemasaran via media sosial, diri kita sendiri adalah bahagian paling penting pada bisnes kita.
Apabila kita menggunakan media sosial sebagai alat memasarkan diri kita sendiri dan bisnes kita, maka faktor yang paling penting adalah mencipta nilai pada mata pembaca FB kita.
Maksudnya, rakan-rakan FB kita mestilah mempersepsi bahawa diri kita mempunyai nilai tinggi, yakni membawa faedah kepada mereka.
Seseorang itu dapat meyakinkan orang bahawa produk yang dipromosikannya mempunyai nilai tinggi apabila dirinya sendiri dipersepsi sebagai mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada nilai produk itu.
Prinsip ini digunakan dalam bidang periklanan tradisional, apabila mereka memilih duta produk. Sebagai contoh, bagi mengiklankan sabun mandi, mereka menggunakan wajah bintang filem yang sangat jelita dan mempunyai banyak peminat.
Dalam pemasaran FB, apabila kita mempunyai bisnes yang hendak kita promosikan, kita adalah duta produk kita itu. Justeru kita perlu lebih 'cantik' daripada produk kita. Jadi, seperti bintang filem jelita itu, kita mesti mempunyai banyak peminat. Caranya adalah dengan menjadikan diri kita sumber informasi yang perlukan oleh rakan-rakan FB.
Pilih sebarang topik yang kita mempunyai banyak maklumat mengenainya, dan tulislah tip-tip berguna berkenaan topik itu, sehingga kita mempunyai kumpulan penggemar yang semakin hari semakin banyak. Sebaik-baiknya pilih topik yang dapat dikaitkan dengan produk ataupun perkhidmatan yang kita tawarkan.
Jadi, dalam strategi pemasaran menggunakan FB, nilai produk bergantung kepada nilai promoter produk itu. Dalam lain perkataan, rakan-rakan FB lebih menghargai si salesman yang menjual kereta daripada kereta yang dijualnya, disebabkan si salesman itu banyak berkongsi maklumat berkenaan tip-tip jual-beli kereta baru dan terpakai.
Friday, September 25, 2009
Personal Branding: Teknik Menjadikan Diri Sendiri Brand dalam FB
Face Book sangat berguna sebagai alat bagi menjalankan apa yang disebut 'social media marketing' bagi mempromosi produk ataupun perkhidmatan kita.
Sebagai orang bisnes, diri kita adalah sebahagian daripada bisnes kita. Nama kita dan diri kita dapat dijadikan brand dengan menggunakan Face Book. Caranya adalah dengan melakukan aktiviti 'personal branding'.
Yang disebut personal-branding adalah proses bagaimana kita menjadikan diri kita dan kerjaya kita sebagai suatu brand.
Cara melakukan personal-branding adalah dengan menulis posting-posting yang menceritakan banyak tentang diri kita tetapi dengan tidak menonjol-nonjolkan diri kita, yakni dengan tidak memasukkan unsur-unsur ego.
Posting-posting kita akan dibaca sebagai tulisan orang yang egoistik apabila perkara yang menjadi tema tulisan kita adalah... saya, saya, dan saya.
Konsep personal-branding datang daripada apa yang disebut 'self-packaging'. Seseorang itu menjadi brand apabila dirinya dipersepsi mempunyai nilai sebagai suatu aset yang sangat unik, yakni berbeza daripada orang-orang lain.
Dalam FB, kita melakukan personal-branding dengan cara mencipta sekumpulan penggemar posting-posting yang kita tulis, dan mereka sentiasa tertunggu-tunggu apa lagi yang akan kita tulis dalam posting akan datang.
Bagi membolehkan diri kita menjadi brand yang bernilai kepada pembaca FB, ini bermaksud kita perlu memberikan sebanyak-banyaknya kepada mereka. Ertinya kita mesti menjadi sumber maklumat yang berguna kepada mereka, supaya mereka kerap merujuk apa yang kita tulis.
Matlamat personal-branding adalah menjadikan diri kita orang yang disukai, dihargai dan dipercayai oleh orang-orang lain. Dalam erti kata lain, kita dipersepsi sebagai seorang yang kredibel dan berintegriti.
Personal-branding membolehkan pembaca FB melihat bahawa nilai diri kita adalah lebih tinggi daripada nilai produk ataupun perkhidmatan kita.
Pada posisi ini barulah kita dapat mempromosi dengan efektif produk ataupun perkhidmatan yang baik dan berguna dalam FB kepada orang-orang yang menaruh kepercayaan pada diri kita.
Thursday, September 24, 2009
Brand Produk Bukan Perkara Penting dalam FB
Face Book adalah media sosial, yakni media yang kita gunakan bagi tujuan berkawan-kawan, bertukar-tukar fikiran, maklumat dan berbual-bual.
Jadi, kita perlu menggunakan FB dengan cara yang betul supaya duit dari akaun bank orang lain dapat dialirkan masuk ke dalam akaun bank kita.
Face Book bukan media cetak, seperti surat khabar ataupun majalah. Justeru kita tidak boleh mengiklankan produk kita serupa seperti yang dibuat pada media cetak. Sebagai contoh, iklan dalam media cetak perlu menunjukkan gambar produk kita dengan terang-terangan.
Jika cara itu kita lakukan dalam FB, rakan-rakan kita akan membuang nama kita, dan dengan hal yang demikian duit mereka tidak mengalir masuk ke dalam akaun bank kita.
Justeru, apabila kita menjalankan aktiviti marketing dalam Face Book, jangan fokuskan posting kita pada brand produk kita.
Brand produk kita hanya penting bagi kita, tetapi ia bukan bukan perkara penting dalam kehidupan sosial rakan-rakan FB kita. Justeru, jangan cuba membanyakkan rakan-rakan FB dengan mempromosi brand produk kita.
Sebaliknya, tulislah berkenaan objek-objek sosial. Contoh objek sosial adalah isu-isu perjuangan, gaya hidup dan 'passion'. Kemudian, kaitkan brand produk kita dengan objek-objek sosial itu.
Menggunakan Bahasa sebagai Alat Bisnes
Bahasa yang kita gunakan mempunyai keupayaan menarik duit keluar dari akaun bank orang lain dan memasukkannya ke dalam akaun bank kita.
Daripada bahasa yang kita gunakan, orang mencipta persepsi tentang diri kita, sebagai contoh mereka mungkin mendapat persepsi kita seorang yang berpelajaran tinggi, profesional, berdisiplin, ataupun sebaliknya.
Sebagai orang bisnes, apabila kita menulis dalam Face Book, sentiasa gunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Demikian juga halnya apabila kita menulis emel, SMS, dalam blog dan laman web.
Gunakan bahasa tinggi secara konsisten, meskipun semasa tujuan kita menulis itu adalah berkomunikasi secara sosial sahaja, bukan bertujuan bisnes.
Di sebalik disiplin menulis menggunakan bahasa tinggi adalah prinsip bahawa semua bentuk komunikasi orang bisnes adalah bisnes, oleh kerana semua orang di sekeliling kita adalah prospek pelanggan ataupun klien kita belaka. Kita tidak tahu siapa yang akhirnya akan menjadi pembeli produk kita ataupun pengguna perkhidmatan kita.
Ciri-ciri bahasa tinggi yang paling asas adalah:
1. Ejaan yang betul.
Pelajari dan gunakan sistem ejaan yang betul, yakni yang mematuhi sistem ejaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
2. Tanda bacaan yang betul.
Gunakan noktah dan koma di tempat-tempat yang betul. Pelajari peraturan menggunakan huruf besar dan huruf kecil yang betul. Sebagai contoh, selepas noktah, gunakan huruf besar.
Kesilapan mengeja dan tanda bacaan dengan mudah mencetuskan persepsi si penulis seorang yang tidak teliti apabila bekerja, tidak sistematik, gopoh-gapah, tidak suka menyemak apa yang dilakukannya dan tidak profesional.
Malah bahasa yang elok dikaitkan dengan taraf pendidikan yang tinggi, banyak membaca, dan personaliti yang baik.
Justeru, bahasa adalah alat yang sangat penting bagi mencipta keyakinan prospek pelanggan dan klien terhadap diri kita, sekaligus kualiti produk dan perkhidmatan kita.
Wednesday, September 23, 2009
Memilih Prospek Berkualiti dalam FB
Apabila kita aktif memberi tip-tip yang berguna bagi dimanfaatkan oleh rakan-rakan dalam Face Book, maka setiap hari kita akan menerima banyak permintaan menjadi rakan. Situasi begini sangat baik bagi kita yang menggunakan FB bagi mempromosi bisnes kita.
Sesetengah individu sangat memilih-milih siapa yang mereka sudi terima sebagai rakan FB kerana mereka mahukan rakan-rakan yang 'berkualiti sahaja'. Maksud 'berkualiti' di situ adalah 'mempunyai banyak persamaan dengan diri mereka sendiri'. Sebagai contoh, peminat politik BIRU suka membanyakkan rakan-rakan yang terdiri daripada penyokong politik BIRU begitu juga dengan para peminat komik, golf, muzik dan lain-lain.
Pengguna FB yang berpelajaran tinggi, profesional dan mempunyai banyak duit lazimnya amat memilih-milih siapa yang mereka mahu terima sebagai rakan. Berbisnes dengan golongan ini amat menguntungkan, oleh itu semakin banyak golongan ini menjadi rakan FB kita, maka semakin baik bagi bisnes kita.
Justeru, kita perlu berhati-hati apabila menulis entri-entri supaya tidak menyebabkan golongan berduit itu menolak permohonan kita menjadi rakan FBnya, ataupun sesudah kita diterima, lalu kemudian dipadamnya pula.
Antara faktor yang menyebabkan golongan profesional memadam nama kita daripada senarai rakan mereka adalah apabila posting kita memboringkan mereka.
Contoh posting yang menyebabkan golongan profesional boring adalah tulisan seperti "Ah! Boringnya hari ini...", "Rasa ngantuk pula...", "Nak makan apa malam nanti...", "Hujan lebat, macam mana nak ke KL...." Bagi mereka, entri seperti itu hanya menyemakkan skrin FB mereka.
Bagi orang bisnes, membanyakkan jumlah rakan FB adalah sangat penting kerana FB adalah padang terbaru di mana kita dapat mencari prospek yang berkualiti.
Prospek yang berkualiti adalah:
1. Rakan FB yang akhirnya akan menjadi pembeli berulang (repeat buyer) produk ataupun perkhidmatan kita.
Apabila mereka berminat dengan produk kita, mereka akan bertanya berapa harganya, ataupun di mana produk itu dapat dibeli.
2. Rakan FB yang sudah menggunakan produk ataupun perkhidmatan kita dan menuliskan testimonial tentang kualiti produk kita.
Mereka berperanan mencarikan prospek bagi kita dengan cara bercerita bahawa mereka sudah lama membeli produk kita, ataupun memuji kualitinya, ataupun sudah mendapat manfaat dengan menggunakannya, ataupun memberitahu rakan FB lain bahawa produk itu sangat berguna, ataupun wajib dibeli.
Mereka juga menulis bahawa mereka peminat produk-produk kita, malah mereka mendoakan supaya bisnes kita terus berkembang.
Testimonial adalah sangat efektif bagi mencetuskan minat sesama rakan FB berkenaan bisnes dan produk-produk kita.
Monday, September 21, 2009
Mengenalpasti Pospek Pelanggan dalam Face Book
Apabila kita berjaya menjalin urusan bisnes dengan pelanggan ataupun klien yang banyak duit, itu bermakna kita berpeluang membuat banyak duit.
Banyak pengguna Face Book adalah individu-individu yang mempunyai banyak sumber kewangan. Ini dapat dikesan daripada maklumat pola-pola penggunaan FB mereka.
Sebagai orang bisnes, kita perlu membanyakkan jumlah rakan FB yang terdiri daripada individu-individu yang mempunyai banyak duit.
Berikut adalah cara mengenalpasti ciri-ciri individu dalam FB yang banyak duit, yakni dengan:
(1) Membaca maklumat yang mereka tuliskan dalam profail mereka.
(2) Meneliti maklumat sampingan pada posting mereka. Apakah mereka mampu menggunakan alat komunikasi yang mahal, seperti Blackberry.
(3) Apakah mereka mampu aktif ber-FB pada waktu malam, subuh dan hujung minggu. Itu tandanya mereka mempunyai internet di rumah.
(4) Apakah mereka mampu aktif ber-FB di mana-mana mereka berada, di restoran, dalam kereta, di salun kecantikan dll. Itu tandanya mereka menggunakan handphone berinternet.
(5) Banyak rakan FB melaporkan perjalanan dan pengembaraan mereka ke luar negara.
(6) Apakah mereka tinggal di lokasi perumahan mahal.
(7) Apakah mereka mempunyai gelaran yang menunjukkan mereka mempunyai pendapatan tinggi. Ada rakan FB yang tidak mendedahkan gelaran mereka, tetapi rakan-rakan mereka memanggil mereka dengan gelaran itu apabila mereka menulis komen.
(8) Dalam posting yang mereka tulis, ada masanya terselit maklumat tentang kerjaya profesional mereka.
(9) Majoriti rakan FB kita tidak mendedahkan status ekonomi mereka. Tetapi, orang yang berduit berkawan dengan orang-orang yang berduit. Justeru, status ekonomi seseorang itu dapat dikesan daripada siapa rakan-rakan mereka yang memberi komen pada posting mereka.
(10) Siapa suami ataupun isteri mereka. Pasangan yang sama-sama profesional mempunyai pendapatan lebih tinggi.
(11) Daripada maklumat tentang produk-produk yang mereka beli dan gunakan.
Apabila kita sudah mengenal pasti individu yang banyak duit, mohonlah menjadi sahabat mereka, mudah-mudahan mereka sudi menerima permohonan kita.
Golongan banyak duit amat berhati-hati memilih rakan FB. Mereka akan scan diri kita, jika sesuai dengan keperluan mereka, barulah mereka terima. Di sinilah pentingnya kita menjaga imej kita dalam profail FB kita.
Saturday, September 19, 2009
Tip Mengurus Profail Face Book bagi Orang Bisnes
Profail dalam Face Book kita dapat membantu kita mengeluarkan duit dari akaun bank rakan-rakan FB dan memasukkan duit-duit itu ke dalam akaun bank kita.
Profail FB kita sangat penting peranannya. Rakan-rakan FB yang tidak kenal kita, apabila mereka mahu tahu siapa kita, mereka akan klik profail kita.
Apabila profail kita di-klik, orang dapat membaca semua entri yang pernah kita tulis. Bukan itu sahaja, semua entri yang ditulis oleh rakan-rakan lain kepada kita pun akan tertera pada skrin dan dapat dibaca.
Dengan membaca profail kita, orang boleh mengetahui banyak tentang siapa diri kita, dan bagaimana peribadi kita.
Justeru, sangatlah penting supaya apabila ada orang mahu tahu latar belakang kita, sesaat selepas dia mengklik profail kita, yang muncul dalam skrin hanya maklumat-maklumat positif tentang diri kita sahaja.
Bersihkan isi kandungan profail kita daripada bahan-bahan yang dapat mencederakan imej tentang personaliti, kredibiliti dan integriti kita.
Padam semua item-item berikut:
(1) Pelbagai kiriman daripada rakan-rakan FB yang tidak mencantikkan, malah merosakkan, imej diri kita dalam profail kita.
Contoh kiriman yang menyemakkan profail kita, dan merosakkan imej profesional dan bisnes kita adalah pelbagai kuiz, kek, game dan lain-lain.
(2) Sebelum memadam kiriman itu, jawab mana-mana yang perlu dijawab.
Contoh kiriman yang perlu dijawab adalah ucapan selamat ulangtahun daripada sesama rakan FB. Jangan jawab dalam ruang komen. Jawab pada ruang dinding pengirimnya. Mereka tidak marah apabila kiriman mereka dipadam sesudah dijawab.
(3) Entri yang kita tulis sendiri pun perlu dipadam apabila entri itu tidak relevan kepada bisnes kita.
Contoh entri sendiri yang perlu dipadam adalah ucapan-ucapan umum apabila ada Hari Merdeka, Hari Guru, Hari Wanita Sedunia, Hari Raya dan lain-lain seperti, sebab ia sudah out-of-date.
Cara Membuat Profail Profesional dan Bisnes Kita dalam Face Book
Bagi orang bisnes, Face Book adalah pasaran yang menjanjikan banyak duit. Justeru kemahiran membuat duit dengan menggunakan FB adalah perkara baru yang perlu dipelajari.
Tetapi FB juga boleh menyebabkan duit yang sepatutnya masuk ke dalam akaun bank kita, tidak jadi masuk.
Rakan-rakan kita dalam FB adalah prospek pelanggan ataupun klien kita.
Katakanlah, ada seorang rakan yang memerlukan seorang doktor gigi yang bagus yang kliniknya berada di lokasi Bangi ataupun Kajang.
Kita pula memang seorang doktor gigi dan klinik kita di Kajang. Ertinya, ada peluang duit dari akaun bank rakan-rakan FB kita keluar lalu mengalir masuk ke dalam akaun bank kita.
Namun sayang sekali, duit mereka itu masuk ke dalam akaun bank doktor gigi lain, kerana kita tidak melakukan beberapa perkara dalam FB kita:
(1) Tidak menuliskan maklumat profesion kita.
Kita perlu menuliskan maklumat dalam profail FB kita bahawa kita seorang doktor gigi, ijazah kita dari universiti mana, dan di mana alamat klinik kita.
(2) Tidak memilih foto yang betul sebagai ikon dalam FB.
Pilih foto yang dengan jelas menunjukkan apa profesion kita. Bagi mengiklankan diri kita sebagai doktor gigi, pilih foto yang menunjukkan kita sedang bertugas dalam klinik gigi kita.
Jika kita seorang chef, pilih foto kita memakai pakaian chef, dengan latar belakang dapur hotel di mana kita sedang bertugas.
Jika kita seorang pengusaha nurseri bunga, pilih foto kita sedang memegang pasu bunga dengan latar belakang papan tanda nama syarikat nurseri bunga.
Jika kita mak andam, pilih foto kita sedang mengenakan mahkota pengantin perempuan yang sudah jelita disolek.
(3) Tidak menyimpan foto-foto yang betul dalam album FB.
Album FB adalah tempat kita mempamerkan lebih banyak maklumat tentang kualiti produk dan perkhidmatan kita. Pilih foto-foto yang befungsi mengiklankan bisnes kita.
Foto-foto yang dipilih itu mempunyai nilai komersial yang tinggi, maksudnya foto-foto itu dapat menarik duit keluar dari akaun bank rakan-rakan FB kita lalu masuk ke dalam akaun bank kita.
Ambil gambar-gambar baru yang khusus yang mahu dijadikan iklan bisnes kita dalam album FB.
Sebagai doktor gigi, gambar-gambar yang relevan adalah foto semasa konvokesyen, gambar pintu depan klinik gigi kita, gambar dengan pelanggan-pelanggan yang puas hati, foto pembantu bertugas di kaunter klinik dan lain-lain.
Friday, September 18, 2009
Strategi Menggunakan Face Book Bagi Memasarkan Diri dan Bisnes Kita
Internet adalah telaga duit terbaru ciptaan manusia modern hari ini. Sebagai orang bisnes, kita perlu belajar semula, kali ini belajar pelbagai kemahiran memancing duit yang ada di dalam akaun bank pengguna-pengguna internet dan memasukkan duit itu ke dalam akaun bank kita.
Salah satu pelajaran baru itu adalah menjalankan aktiviti marketing dengan menggunakan Face Book.
Ada beberapa perkara yang perlu dilakukan supaya imej kita sebagai bisnesman yang kredibel dan berintegriti kekal terjaga dengan elok.
(1) Sentiasa menulis entri yang informatif, baik, dan berguna isi kandungannya.
Jangan menulis perkara yang baik untuk bisnes kita, sebaliknya tulis maklumat yang baik dan berguna kepada rakan-rakan FB lain.
Tuliskan pelbagai tip yang berguna dalam kehidupan sehari-harian. Hal itu amat bagus bagi imej kita, dan ia membantu kita menjadi popular dalam FB.
Disebabkan rakan-rakan FB suka membaca tip-tip yang kita tuliskan, mereka akan mempunyai persepsi positif tentang peribadi kita.
(2) Menulislah dengan cara yang menyebabkan rakan-rakan FB berasa mereka dihormati apabila membaca setiap entri kita.
Gunakan perkataan 'tuan', 'puan', 'saudara', 'saudari' dan yang seumpamanya, meskipun semasa kita menulis komen terhadap entri sahabat karib sendiri.
Apabila kita menulis komen terhadap entri sanak-saudara sendiri, gunakan panggilan mulia seperti 'ayahanda', 'bonda', 'kanda', 'adinda', 'anakanda' dan 'cucunda'.
Lebih baik lagi kita menggunakan 2 Face Book yang berlainan, (i) Face Book bagi memasarkan diri kita dan bisnes kita, dan (ii) Face Book bagi berkomunikasi dengan sahabat handai dan kaum kerabat.
(3) Dalam Face Book, gunakan cara-cara yang halus bagi menunjukkan bahawa kita mempunyai kelulusan yang tinggi.
Manusia suka berinteraksi dengan orang-orang yang memiliki banyak persamaan dengan diri mereka sendiri. Golongan berpendidikan tinggi suka berurusan sesama orang yang berpendidikan tinggi.
Sebagai tanda kita berpendidikan tinggi, menulislah dengan menggunakan sistem ejaan lengkap, tatabahasa dan tanda bacaan yang betul.
(4) Elakkan menulis MENGGUNAKAN SEMUA HURUF BESAR kerana ia serupa dengan perbuatan kita menjerit-jerit di depan muka orang itu.
Memasarkan diri kita dan bisnes kita dalam Face Book adalah suatu seni dan juga suatu sains.
Melayan Ego Pelanggan Berpelajaran Tinggi
Dompet pelanggan yang berpelajaran tinggi adalah tebal dengan duit.
Apabila kita dapat membekalkan mereka dengan produk ataupun perkhidmatan, banyaklah duit dari akaun bank mereka yang dapat kita pindahkan masuk ke dalam akaun bank kita.
Berniaga dengan pelanggan berpelajaran tinggi sangat menguntungkan, semata-mata disebabkan duit mereka banyak. Semakin banyak duit pelanggan kita, semakin banyak duitnya yang dapat kita pindahkan ke dalam akaun bank kita.
Pengurusan hotel-hotel 5-bintang adalah contoh mereka yang pandai berniaga dengan pelanggan yang banyak duit. Namun ada peniaga kecil-kecilan yang tidak kurang pandainya berniaga dengan orang yang banyak duit.
Orang yang banyak duit banyak kerenahnya. Banyak perkara yang tidak diminta oleh pelanggan kecilan, diminta oleh pelanggan yang banyak duit.
Banyak perkara yang tidak menjadi kudis kepada orang kecilan, sebaliknya menjadi pantang besar kepada orang yang banyak duit.
Ego individu yang berpelajaran tinggi tidak serupa dengan ego orang kecilan.
Sebagai contoh, pelanggan kecilan tidak sakit hati apabila mereka dilayan dengan panggilan pakcik, makcik, abang, kakak dan lain-lain panggilan kampungan, tetapi tidak begitu halnya bagi pelanggan yang berpelajaran tinggi.
Apabila kita pandai mengurut-urut ego orang yang banyak duit, dia tidak kisah berapa banyak margin yang kita kenakan pada harga produk ataupun perkhidmatan yang kita bekalkan kepadanya.
Thursday, September 17, 2009
Berbisnes adalah Bersahabat
Ada orang menyangka, cogan kata 'berbisnes adalah bersahabat' bermakna bisnes yang mudah adalah menjual produk kepada kawan-kawan sendiri, dan saudara-mara sendiri.
Tidak. Jangan jual apa-apa kepada kawan-kawan dan saudara-mara sendiri sebab perbuatan seperti itu bukan cara menjalankan bisnes yang betul.
Kalau kawan-kawan dan saudara-mara kita mahu membeli produk kita, itu bonus, kalau tidak, tidak jadi apa-apa sebab bisnes kita tidak memerlukan pembelian mereka bagi survival kerana kita mempunyai kelompok pelanggan yang lebih daripada cukup.
Berbisnes adalah bersahabat bermakna kita pandai menjalin dan mengekalkan hubungan persahabatan dengan semua pihak yang kait-mengait dengan kepentingan bisnes kita.
Pada masa ini kita dapat menjalin persahabatan baru dengan bantuan internet. Sebagai contoh, kita perlu belajar seni memancing rakan-rakan yang hanya kita kenal dalam FaceBook supaya mahu menjadi pendukung bisnes kita.
Sebagai pendukung, mereka dapat menceritakan kepada kelompok rakan masing-masing akan perihal siapa kita, apa bisnes kita dan senarai produk-produk kita.
Bahasa dan Persepsi Klien Terhadap Kredibiliti dan Integriti
Bahasa adalah salah satu modal bisnes yang penting. Dengan menggunakan bahasa semata-mata kita dapat menarik banyak duit dari akaun bank orang-orang lain lalu masuk ke dalam akaun bank kita.
Dalam dunia bisnes, kita hanya mahu berurusan dengan orang yang kredibel dan berintegriti kerana hanya dengan itu sahaja kita berasa selesa dan selamat berurus-niaga, baik menjual ataupun membeli, meminjam wang ataupun meminjamkan wang, memberi kredit mahupun menerima kredit, menyerahkan kontrak mahupun menjalankan kontrak.
Individu yang kredibel adalah individu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam perkara-perkara yang dipercakapkannya.
Bakal klien mesti yakin bahawa kita seorang yang kredibel, barulah beliau mahu berurusan dengan kita.
Sebagai contoh, apabila kita mahu mendapatkan kontrak menjalankan bengkel latihan komunikasi, bakal klien mesti yakin bahawa kita memiliki ilmu-ilmu komunikasi dan mempunyai skill berkomunikasi dengan baik. Klien juga mesti yakin kita memiliki ilmu-ilmu dan skill mengendalikan bengkel latihan. Barulah kita ini kredibel di matanya.
Individu yang mempunyai integriti adalah orang yang diyakini bukan pendusta, dan bukan penyamar, apatah lagi penipu. Bakal klien akan scan kita bagi mengenalpasti ciri-ciri penyamar yang mungkin ada pada diri kita. Dia mesti yakin orang yang datang ke pejabatnya itu tidak menyamar sebagai seorang pakar.
Banyak faktor membantu kita mencipta imej sebagai orang yang kredibel dan berintegriti tinggi. Antara faktor-faktor itu adalah bahasa yang kita gunakan apabila menulis SMS, menulis emel, menulis dalam blog, dalam Facebook, web rasmi, dan apabila bercakap dalam telefon, di radio, di TV, dan apabila bercakap orang-dengan-orang.
Bahasa yang digunakan oleh seseorang adalah mencerminkan ilmu-ilmu dan maklumat yang ada dalam otaknya.
Orang boleh menyamar dengan berbagai cara -- melainkan dengan bahasa. Bahasa (perkataan, istilah, frasa dan wacana) seorang jurutera adalah berbeza daripada bahasa seorang juruteknik.
Yang menjadi isu sekarang ini, banyak berlaku kes di mana klien menyangka orang yang datang ke pejabatnya itu adalah seorang 'juruteknik' sedangkan dia sebenarnya seorang 'jurutera', disebabkan si 'jurutera' bercakap menggunakan bahasa 'juruteknik'.
Justeru, bahasa yang kita gunakan memainkan peranan penting mencipta kredibiliti dan integriti diri kita pada pandangan mata bakal klien.
Membuat Panggilan Telefon
Telefon adalah alat membuat duit yang paling penting. Telefon juga boleh menyebabkan kita hilang banyak duit.
Justeru, telefon perlu digunakan dengan efektif supaya duit banyak masuk ke dalam akaun bank kita.
Ada beberapa perkara yang dapat mencederakan hubungan bisnes dengan klien:
(1) Bagi kita, setiap panggilan bisnes yang kita buat tentulah amat penting. Tetapi bagi pihak klien, panggilan telefon kita mungkin bukan prioriti bagi dijawabnya serta-merta.
Apabila kita meng-call klien sewaktu klien kita itu sedang sibuk, kita mengganggu ketenangan emosinya. Kita mungkin dianggap sudah menjadi macam 'pest' dan tercederalah hubungan bisnes kita.
Bagi mengelakkan kecederaan dan duit lari, hantar SMS dahulu. Ini serupa dengan adab mengetuk pintu sebelum masuk. Tulis SMS begini: "Asalamualaikum, Tn. Farid. Saya Ainon dari PTS. Bolehkah saya call, tentang ISBN buku. Terima kasih."
(2) SMS yang tidak mencatatkan nama pengirim. Perkara begini sangat menyakitkan hati klien.
Sentiasa tulis nama kita pada hujung teks. Contoh: "Asalamualaikum, Tn. Farid. Fax sudah saya terima. Terima kasih. Pn. Ainon PTS.
Nama sangat penting ditulis kerana nama kita belum tentu muncul pada skrin HP klien kita.
(3) Panggilan berulang.
Ada masanya panggilan kita sengaja tidak mahu dijawab oleh klien (yang sedang sibuk dan tidak mahukan gangguan, ataupun dia sedang tidak ada mood hendak bercakap). Kemudian, kita ulang pula panggilan itu. Maka semakin hilang moodnya, bukan terhadap panggilan kita itu, tetapi terhadap diri kita sendiri.
Jika panggilan kita tidak diangkat oleh klien, tulis SMS. Jika perkara itu mustahak baginya, dia akan call kita.
Tulis begini: "Asalamualaikum Tn. Farid. Tadi saya call, hendak beritahu limosin yang kami tempah untuk tuan akan tiba 10 minit lagi. Pn. Ainon PTS."
Sebelum membuat sebarang panggilan telefon kepada klien, tulis SMS dahulu, seperti ini: "Asalamualaikum, Tn. Farid. Saya Pn. Ainon dari PTS. Boleh saya call, berkenaan tarikh penghantaran sebutharga. Terima kasih."
Membuat panggilan telefon tanpa minta izin mahu bercakap dengan menghantar SMS terlebih dahulu adalah ibarat kita pergi ke pejabat klien dan terus masuk tanpa mengetuk pintu.
Bahasa adalah Modal Bisnes
Apabila kita berniaga, kata-kata yang kita ucapkan dapat menyebabkan wang datang ataupun wang lari.
Ada perkataan yang mempunyai nilai komersial, yakni apabila perkataan itu digunakan, produk kita laku, manakala ada perkataan yang sebaliknya.
Contoh perkataan yang tidak mempunyai nilai komersial adalah masalah.
Justeru perkataan masalah tidak sesuai digunakan sebagai judul buku, seminar ataupun bengkel.
Ramai orang bergiat aktif dalam bisnes bercakap (speaking) dengan menjadi hos radio, rancangan talk-show di TV, memberi kuliah, tazkirah, bengkel dan berceramah.
Supaya audiens suka mendengar kita bercakap, jangan sebut perkataan masalah, sebaliknya gantikan dengan perkataan situasi.
Contoh-contoh:
(a) Masalah remaja zaman sekarang.... (SALAH)
(b) Situasi remaja zaman sekarang.... (BETUL)
Dengan tidak menggunakan perkataan masalah, kata-kata yang kita ucapkan menjadi lebih sedap didengar, tutur kata kita menjadi lebih lunak dan manis, oleh itu kita dapat menaikkan mutu perkhidmatan kita, dan jumlah undangan akan meningkat.
Dalam percakapan harian pun begitu juga, jangan sebut perkataan masalah supaya orang di sekeliling kita suka mendengar percakapan kita.
Hasilnya, ramai orang suka berinteraksi dengan kita, dengan itu kita dapat meningkatkan jumlah rakan-bisnes dan pelanggan kita.